ALOR SETAR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya Parti Amanah Negara (PAN) sewajarnya lebih peka kepada isu-isu berkaitan sensitiviti umat Islam daripada mencari kesalahan pihak lawan.
Pengerusi Gabungan Gerak Rakyat Hidupkan Amar Maaruf dan Hancurkan Amal Maksiat (GERAHAM), Ustaz Noor Hakimi Ab Halim berkata melontarkan nasihat penting kepada pemimpin parti itu.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, terdapat banyak perkara yang ditimbulkan oleh rakan sekutu PAN iaitu DAP dengan menyinggung perasaan umat Islam, namun pemimpin parti itu terus menyepi.
“GERAHAM tidak bermaksud untuk campur tangan dalam hal berkaitan politik, tetapi kita merasa pelik, di mana suara pemimpin PAN ketika Islam diperleceh oleh Menteri-menteri serta pemimpin DAP.
“Tetapi apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, cakap sikit berkenaan mereka, pakat keluar bagi kenyataan kononnya marahkan Sanusi,” katanya kepada Harakahdaily, di sini.
Sedangkan kata beliau, isu yang dibawa oleh Menteri Besar itu adalah isu negara seperti ketiadaan beras tempatan, kartel padi dan sebagainya.
Namun tegasnya lagi, DAP secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan seperti isu penjualan arak di kawasan majoriti Melayu-Islam, membela KK Mart berkaitan isu stoking kalimah Allah, sandwic ‘ham&cheese’ dan lain-lain.
Termasuk juga katanya, berkenaan pengakuan Menteri DAP sebagai pendakyah Kristian dan ‘Duta Tuhan’, serta melibatkan kakitangan beragama Islam pada sambutan Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), baru-baru ini.
“Dari semua rentetan kebiadaban tindakan DAP itu, tiada langsung suara atau tindakan laporan polis yang dibuat oleh pemimpin PAN. Tetapi hanya beberapa baris ayat ucapan Menteri Besar Kedah, mereka bangkit buat laporan polis.
“Dakwaan Sanusi mengaitkan PAN dengan DAP itu mungkin ada asasnya. Mungkin kerana kesal tiada langsung pembelaan daripada PAN terhadap kebiadapan DAP sebaliknya mereka tampil membela DAP pula,” tambahnya lagi.
Sebagai contoh katanya, berkenaan keputusan kerajaan negeri tidak menyambung serta meluluskan lesen premis judi di Kedah yang ditentang oleh pemimpin DAP.
Sewajarnya keputusan itu tegas beliau, dipersetujui dan disokong oleh umat Islam tidak kira fahaman atau kecenderungan politik kerana ia berkaitan dengan hukum Allah.
“Tetapi apa yang rakyat boleh lihat, pemimpin PAN lebih kepada mengambil pendekatan pejam mata, tutup mulut dan pekakkan telinga.
“Mereka melarikan diri seolah-olah isu judi tiada langsung dalam perhatian parti mereka yang didakwa berteraskan perjuangannya Islam,” bidas beliau lagi.
Oleh itu, katanya, GERAHAM menyeru agar PAN kembali kepada asas perjuangan mereka, kepada teras dan jati diri Islam sebagaimana terkandung dalam perlembagaan parti tersebut serta berhentilah menjadi pencetus perpecahan ummah.
“Sebarang tindakan yang kurang matang dan kurang cermat boleh menghilangkan terus kepercayaan rakyat Melayu-Islam kepada pemimpin dan PAN itu sendiri.
“Membela hak-hak dan sensitiviti umat Islam itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan. – HARAKAHDAILY 4/2/2025