KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) membangkitkan isu percanggahan kenyataan antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan mengenai kenaikan tarif elektrik yang dijadualkan bermula Julai tahun ini.
Beliau berkata, sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, TNB tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menggariskan bahawa setiap kenyataan perlu dibuat berdasarkan fakta.
“Apa sahaja kenyataan yang dibuat oleh SC melalui peraturan 9.03 dan 9.04 mesti ada fakta. Kalau ingkar dan lari daripada fakta yang sebenarnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang menafikan kenyataan TNB berhubung kenaikan tarif elektrik selepas pengumuman dibuat.
“TNB dah umumkan bahawa tarif elektrik akan naik 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh) bermula Julai tahun ini.
“Oleh demikian, ramai pelabur dan pemegang yang membeli saham kerana tahu bahawa ini akan menyebabkan keuntungan yang besar kepada TNB,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, dalam tempoh kurang seminggu selepas pengumuman itu, kerajaan tampil menafikan perkara tersebut dan menyatakan bahawa TNB tidak pernah merujuk kepada umum mengenai kenaikan tarif.
“TNB tidak pernah rujuk secara umum tentang kenaikan tarif elektrik, ini dah derhaka kepada kerajaan, maka ini bermakna ahli lembaga TNB telah menderhaka kepada kerajaan.
“Tindakan harus diambil terhadap mereka yang menderhaka apa sahaja derhaka, ambil saja tindakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2025