KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) hampir pasti akan beraksi di Liga A1 Semi-Pro musim depan.
Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hasan berkata, permohonan KRW untuk menyertai Liga A1 dibuat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Disember tahun lepas.
Katanya, permohonan itu dibuat sejurus pasukan berkenaan dibentuk Disember tahun lepas.
Menurut Nik Hafiz, permohonan tersebut kini dalam proses penilaian dan dijangka KRW FC akan dapat beraksi di Liga A1 pada Jun nanti.
“KRW FC kini menunggu keputusan yang akan diumumkan oleh FAM serta MFL selepas Liga A1 musim ini tamat,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Jelajah Kelantan Red Warriors – The Next Hero di Padang Sintetik, di sini, petang kelmarin.
Beliau memberitahu, bagi menjayakan hasrat itu, tumpuan utama ketika ini ialah pembentukan pasukan dan pemilihan pemain yang akan diadakan selama sebulan bermula Jumaat hingga 23 Februari ini.
“Kami menerima 200 hingga 300 individu yang mendaftar secara dalam talian untuk menyertai pemilihan sebagai pemain KRW FC.
“Pemilihan akan dibuat bermula di Kota Bharu selama dua hari iaitu hari ini (Jumaat semalam) hingga Sabtu dan di daerah-daerah di negeri ini serta akhir sekali di Selangor,” ujarnya.
Menjawab soalan, Nik Hafiz memberi keyakinan bahawa pihak pengurusan pasukan mempunyai perancangan kewangan bagi memastikan pasukan KRW dapat beraksi dalam arena bola sepak.
“Kami ada pelabur yang sebelum ini sudah melabur bersama jutaan ringgit sewaktu bersama Kelantan The Red Warriors.
“Kita akan menarik lebih ramai lagi pelabur untuk bersama KRW bagi memastikan kewangan kukuh untuk beraksi,” katanya lagi.
Kelmarin, beberapa peserta yang memohon untuk sertai KRW FC memulakan sesi latihan bagi menunjukkan prestasi permainan masing-masing di Padang Sentatik, di sini. – HARAKAHDAILY 26/1/2025