Guru pemangkin usaha membentuk generasi rabbani

- Advertisement -

TEBRAU: Graduan guru Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) diseru untuk terus memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang berakhlak, berilmu, dan bertakwa.

Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Aizat Zakaria berkata, kejayaan graduan menamatkan program empat siri kursus bukan sekadar tanda tamat pengajian, tetapi menjadi permulaan kepada perjalanan lebih mencabar dalam dunia pendidikan. 

“Tugas sebagai seorang guru adalah besar, terutamanya dalam dunia yang penuh cabaran seperti hari ini.

“Anda bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu tetapi juga membentuk keperibadian, jiwa, dan akhlak generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen SRITI Malaysia kali ketiga di Ulu Tiram, di sini hari ini.

Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 333 graduan menerima diploma perguruan, dengan lapan daripadanya menerima Anugerah Ketua Pengarah SRITI Malaysia atas pencapaian cemerlang mereka. 

Majlis itu turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin PAS, barisan panel penasihat kurikulum SRITI, dan ibu bapa para graduan.

Mohd Aizat turut menyeru graduan untuk terus menimba ilmu sepanjang hayat walaupun telah menamatkan kursus rasmi. 

“Ilmu ini dia tidak habis bukan setakat ini sahaja. ‘Long live learning’ insya-Allah teruskan menimba ilmu teruskan meningkatkan ilmu dan kemahiran kita pada hari ini.

“Dunia pendidikan sentiasa berubah dan anda perlu bersedia untuk menghadapi perubahan ini insya-Allah,”tambahnya lagi. 

Beliau turut menekankan kepentingan para guru untuk menjadi teladan terbaik atau ‘qudwah hasanah’ kepada anak-anak didik mereka. 

“Pegang teguh nilai Rabbani. Pastikan setiap langkah anda berpandukan iman dan takwa kepada Allah SWT,” katanya.  – HARAKAHDAILY 25/1/2025

- Advertisement -