ARAU: Dalam perjalanan melihat sawah padi yang terbentang luas di Perlis, mata pasti tertumpu kepada ketekunan pesawah bekerja keras di bawah panas terik matahari.
Namun, di sebalik dedikasi mereka, realiti yang menyelimuti kehidupan petani ini penuh dengan cabaran.
Dengan harga padi yang tidak berubah sejak puluhan tahun lalu dan kos sara hidup terus melonjak, masa depan mereka semakin suram jika tiada langkah drastik diambil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, menyuarakan keresahannya berkaitan nasib kira-kira 200,000 petani di Malaysia.
Beliau menegaskan betapa pentingnya Kerajaan Pusat untuk mendengar suara rakyat marhaen ini.
“Harga padi masih di takuk lama, sedangkan kos baja, racun, dan jentera terus meningkat.
“Para petani tidak lagi mampu menampung keperluan hidup dengan hasil padi yang semakin merosot,” ujar Mohd Ridzuan ketika berucap pada Himpunan Tuntutan Naikkan Harga Padi di Jalan Tengah Kubang Gajah-Banat, di sini hari ini.
Harga padi: Masih di zaman lampau
Ketika ini, harga padi dianggarkan sekitar RM1,200 hingga RM1,300 satu tan metrik yang menurut Mohd Ridzuan, sama seperti ketika di zaman nenek moyang terdahulu.
Namun, kos pengeluaran meningkat berkali ganda, menjadikan pendapatan petani semakin mengecil.
Beliau yang juga petani ujarnya, kini tidak hanya bertarung dengan isu harga padi, tetapi juga dengan cabaran cuaca tidak menentu.
Musim kemarau panjang, serangan penyakit padi, dan hujan lebat yang merosakkan tanaman menjadikan kerja keras mereka tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.
“Kalau satu musim dapat RM2,000 bersih, bahagi enam bulan, bagaimana petani nak menyara keluarga?” soal beliau, menggambarkan betapa kritikalnya keadaan ini.
Subsidi sebagai penyelesaian segera
Sebagai langkah segera, Mohd Ridzuan mencadangkan agar kerajaan menaikkan subsidi padi daripada RM500 hingga ke RM700 bagi setiap tan metrik, dengan peruntukan sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk membantu petani.
“Mungkin harga jualan padi belum dapat dinaikkan mendadak, tetapi subsidi yang lebih tinggi dapat meringankan beban petani,” tambahnya.
Langkah ini menurut beliau, adalah penyelesaian sementara untuk memastikan petani terus dapat mengusahakan sawah mereka tanpa meninggalkan sektor pertanian yang menjadi sumber makanan negara.
Cabaran ekonomi dan keperluan transformasi
Selain subsidi, transformasi sektor pertanian ke arah lebih moden juga dilihat sebagai keperluan mendesak.
Mohd Ridzuan menekankan pentingnya pelaburan dalam teknologi pertanian untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada cuaca.
Namun, cabaran utama adalah bagaimana untuk memastikan transformasi ini dapat dirasai oleh petani kecil, yang sering terlepas daripada manfaat dasar-dasar besar.
Jika tiada langkah konkrit, jurang antara petani kecil dan pemain besar dalam sektor pertanian akan terus melebar.
Harapan petani
Bagi petani harapan mereka adalah sederhana iaitu harga padi yang setimpal dengan usaha dan pengorbanan mereka.
Mereka tidak meminta kemewahan, hanya keadilan dalam memastikan kehidupan mereka tidak terhimpit di bawah tekanan kos sara hidup.
Sebagai negara yang mengutamakan sektor makanan, tanggungjawab kerajaan untuk mendengar suara petani adalah amat penting.
Jika suara mereka terus diabaikan, seperti yang diingatkan oleh Mohd Ridzuan, tidak mustahil satu hari nanti mereka akan berhimpun di Putrajaya, menuntut keadilan sepatutnya mereka terima.
Sawah padi yang menghijau dan hasilnya yang menyumbang kepada ekonomi negara adalah simbol ketekunan petani.
Namun, jika sektor ini terus dipandang sepi, ia bukan sahaja mengancam kehidupan petani tetapi juga kestabilan bekalan makanan negara.
Kini, bola berada di kaki kerajaan, adakah nasib petani akan berubah, atau adakah mereka akan terus menanggung beban ini seorang diri? – HARAKAHDAILY 24/1/2025