KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis meraih Sijil Audit Bersih Penyata Kewangan Tahun 2023 yang merupakan hasil kerjasama erat penjawat awam negeri dan Persekutuan dalam bekerja secara strategik dan bersepadu.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan tersebut.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua penjawat awam yang terlibat dalam usaha kita untuk dapat audit bersih ini.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu pada perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri di sini, semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail turut berkata, sijil tersebut adalah pengiktirafan daripada Ketua Audit Negara terhadap pengurusan kewangan dan perkhidmatan yang cemerlang.
“Alhamdulillah, berkat kepimpinan Menteri Besar, dan semua Exco negeri serta sokongan semua jabatan, Perlis mendapat audit bersih dan ini satu kebanggaan kepada negeri untuk kita maju ke depan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Tambahnya, Perlis menyasarkan untuk mengekalkan kecemerlangan tersebut dan berusaha meningkatkan pencapaian audit daripada empat kepada lima bintang pada masa akan datang.
Mohd Shukri hadir dalam Majlis Amanat Menteri Besar Perlis Bersama Penjawat Awam Negeri Perlis Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Majlis turut dihadiri Penasihat Undang-Undang Negeri, Yang Zaimey Yang Ghazali; Mufti Negeri Perlis, Dato’ Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Dalam ucapannya, Mohd Shukri menyeru penjawat awam agar memulakan tahun baharu dengan azam dan iltizam yang tinggi.
“Tahun ini kita harap semua penjawat awam di Perlis dapat memulakan tugas dengan penuh semangat, azam serta iltizam yang tinggi.
“Segala dasar, program dan projek mesti dilaksanakan secara adil, telus, dan efisien demi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik,” katanya.
Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif strategik kerajaan negeri bagi tahun 2025.
“Antara program dan inisiatif utama ialah penubuhan Institut Strategik Perlisku Bestari sebagai badan pemikir utama yang akan mengelola gagasan Perlisku Bestari Berkat Lestari.
“Selain itu, Perlis Invest ditubuhkan bagi memastikan halatuju pelaburan negeri selaras dengan dasar negara untuk menarik pelaburan yang lebih strategik,” katanya.
Mohd Shukri juga menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk mendidik rakyat agar mengutamakan solat serta tuntutan agama.
“Kita akan terus menggerakkan kempen Nak Berjaya Jom Solat melalui inisiatif Perlisku Bestari Anjung Madinah secara menyeluruh dan lebih bersasar,” tambahnya.
Mohd Shukri menyerahkan Anugerah Sijil Audit Bersih kepada jabatan-jabatan terlibat, selain melancarkan Buku Belanjawan Tahun 2025 dan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perlis Tahun 2023. – HARAKAHDAILY 24/1/2025
