Jangan ‘posting’ yang boleh cetus reaksi hina agama

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Terengganu menggesa umat Islam menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan nilai murni dan perkara yang bermanfaat.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Majlis Penerangan dan Informasi GAMIS Terengganu, Nur Faidah Zulkifli berkata, hantaran kontroversi yang boleh mencetuskan penghinaan terhadap agama Islam dalam ruangan komen tidak patut dilakukan.

“Jangan digunakan dalam hantaran itu dilihat menambah unsur kontroversi yang menyebabkan ruangan komen dipenuhi dengan pelbagai reaksi termasuk penghinaan terhadap agama Islam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Beliau berkata, platform media sosial seperti Instagram atau Facebook direka untuk menggalakkan interaksi dan perbincangan yang positif.

“Dalam dunia digital, satu hantaran boleh menjadi viral dalam sekelip mata, tanpa kawalan yang baik ia berpotensi menimbulkan ketegangan, kebencian dan konflik dalam masyarakat.

“Oleh itu pentingnya memahami tanggungjawab dalam komunikasi digital, terutama bagi figura awam. Media sosial adalah ruang yang boleh memperkukuhkan hubungan masyarakat jika digunakan dengan bijak, tetapi boleh menjadi platform untuk konflik jika disalahgunakan,” katanya.

Justeru katanya, sikap berhikmah perlu menjadi panduan utama dalam setiap perkongsian terutama apabila berhadapan dengan isu-isu sensitif yang menyentuh agama, budaya dan nilai masyarakat.

“Kami menegaskan bahawa provokasi atau penghinaan terhadap agama, sama ada secara langsung atau tidak langsung, tidak boleh diterima dan harus ditangani dengan pendekatan yang berasaskan pemahaman, dan undang-undang yang sedia ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2025