Sikap pertahankan kebenaran menerusi peristiwa Isra’ dan Mi’raj

- Advertisement -

SABAN tahun umat Islam meraikan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, dua kejadian yang dialami oleh Rasulullah SAW pada suatu malam. Isra’ merupakan pengalaman perjalanan Rasulullah SAW pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa. Manakala Mi’raj pula adalah kejadian Rasulullah SAW naik daripada bumi ke langit pertama hingga ke lapisan langit ketujuh. 

Meskipun para ulama berbeza pendapat mengenai tarikh sebenar berlakunya Isra’ dan Mi’raj, namun majoriti dalam kalangan mereka menyambut peristiwa tersebut pada tanggal 27 Rejab setiap tahun seperti yang dinyatakan oleh ‘Allamah al-Mansurfuri. 

Dalil al-Quran berkenaan Isra’ adalah merujuk kepada firman Allah:

- Advertisement -

سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Pelestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebenaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah al-Isra’: 1)

Hujah naqli berhubung peristiwa mi’raj Nabi SAW pula bersandarkan firman Allah yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, – Di sisi ‘Sidratul-Muntaha’; Yang di sisinya terletak ‘Jannatul-Ma’wa’. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ‘Sidratul-Muntaha’ itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya”. (Surah an-Najm: 13-18)

Kali pertama Rasulullah SAW mengemukakan kisah perjalanan malamnya itu, ramai yang memperlekeh dan mempermain-mainkan kenyataannya. Mereka mempersenda dan mendustai Rasulullah SAW. . Walau bagaimana pun, Rasulullah SAW tetap mempertahan kata-katanya tanpa ragu, dan Baginda tetap berusaha meyakinkan masyarakat Quraish mengenai kesahihan kejadian berkenaan.  

Sikap tegas mempertahankan kebenaran tanpa menghiraukan celaan dan cemuhan yang ditunjukkan Rasulullah SAW, merupakan sifat terpuji yang mesti diteladani oleh semua ahli PAS. Ucapan kata-kata seperti sindiran, perlecehan atau nistaan tidak mematahkan hati untuk bercakap benar, bahkan ia menjadi pembakar semangat untuk terus mengenggam kebenaran.

Tingkah-laku seumpama inilah yang ditampilkan oleh Saidina Abu Bakar RA. Beliau kekal mempertahankan kebenaran peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang diceritakan Rasulullah SAW kepada kaum Quraish, walaupun ada yang cuba meracuni keyakinannya terhadap berita berkenaan. Oleh kerana pendiriannya istiqamah membenarkan apa yang disampaikan Rasulullah dalam peristiwa berkenaan, maka akhirnya beliau dikenali dengan gelaran as-Siddiq. Hal demikian telah dijelaskan oleh Ibn Hisyam di dalam kitabnya Sirah Nabawiyah Ibn Hisyam.

Pada hari ini, seseorang itu tidak terlepas daripada komen dan dikomen oleh sesiapa sahaja menerusi pelbagai platfom medsos. Ahli-ahli PAS juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa netizen di dunia media sosial. Cuma kelainan yang mesti ditanam dalam peribadi ahli PAS ialah mempertahankan kebenaran dalam apa jua bahasa. Usah menjadi seperti mereka yang bercakap dengan nada serkap jarang, mewujudkan keraguan tentang prinsip Islam dan bersekongkol dengan kebatilan. 

Perlu diperingatkan bahawa setiap huruf yang membariskan kepalsuan, tetap merupakan satu dosa, dan akan berbangkit di akhirat kelak.

Selain itu, peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini juga turut membentangkan tentang hal: 

  1. Kewajipan mempertahankan risalah kebenaran Rasulullah s.a.w;
  2. Keimanan mengenai perkara sam’iyyat;
  3. Pensyariatan dan kewajiban ibadat solat;  
  4. Bahaya kaum munafik dan kafir yang cuba menimbulkan keraguan; dan
  5. Kemestian membina keyakinan diri sepanjang masa.

Justeru, setiap ahli PAS hendaklah memahami dan menghadam peristiwa Isra’ dan Mi’raj sedalam-dalamnya. Kisah ini bukanlah sekadar bahan ulangan ceritera saban tahun, tetapi ia mengandungi ibrah yang cukup bermanfaat. Maka, jadikannya sebagai panduan untuk memelihara prinsip bagi mempertahankan kebenaran di mana jua  keberadaan kita.   

DR. AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Lajnah Tarbiyah PAS Pusat – HARAKAHDAILY 23/1/2025  

- Advertisement -