KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS mendesak Peguam Negara segera memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang hanya mengenakan denda RM5,000 kepada pemimpin PKR Sarawak, Iswardy Morni atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, jika rayuan tidak dibuat, kerajaan akan dilihat memperlekehkan institusi Yang di-Pertuan Agong, khususnya terhadap mereka yang pernah berkhidmat sebelum ini.
Beliau turut membandingkan kes tersebut dengan hukuman penjara enam dan lapan bulan yang dikenakan terhadap seorang buruh dan suri rumah atas kesalahan sama.
“Perbezaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan serta ketelusan dalam pelaksanaan undang-undang. Adakah status politik atau kedudukan sosial menjadi faktor yang mempengaruhi hukuman?” soalnya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.
Beliau juga menyentuh isu Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohamad Najib Tun Abdul Razak yang menurutnya telah disahkan wujud dan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
“Polemik ini masih hangat diperkatakan, namun kerajaan kelihatan mengambil sikap mendiamkan diri, seolah-olah mahu menyorokkan kebenaran,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kegagalan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap hukuman ringan itu hanya akan menambah persepsi bahawa kerajaan tidak serius mempertahankan institusi tertinggi negara.
“Justeru, demi memelihara wibawa institusi Yang di-Pertuan Agong dan menjamin keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira status, kerajaan mesti memastikan rayuan terhadap hukuman ini difailkan.
“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi raja tetapi juga mengundang ketidakpercayaan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2025