SEOUL: Kementerian Pengangkutan Korea Selatan akan mengubah halangan konkrit yang digunakan di beberapa lapangan terbang negara itu selepas nahas Jeju Air, bulan lalu.
Pada masa sama, siasatan masih dijalankan berhubung nahas tersebut, manakala pakar mengatakan tembok konkrit yang menyokong antena navigasi di hujung landasan itu mungkin menjadikan bencana itu lebih teruk.
Antara lapangan terbang yang terlibat di dalam projek berkenaan ialah Lapangan Terbang Antarbangsa Muan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, yang merupakan antara lapangan terbang tersibuk di Korea Selatan.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Muan merancang untuk mengeluarkan sepenuhnya konkrit sedia ada dan memasang semula alatan sistem pendaratan dalam struktur yang mudah pecah,” kata kementerian itu, hari ini.
Nahas yang berlaku pada 29 Disember itu mengorbankan 179 orang, dengan hanya dua anak kapal yang duduk berhampiran bahagian belakang pesawat Boeing 737-800 itu terselamat.
Rakaman video memaparkan pesawat penumpang itu merempuh struktur konkrit dan meletup, selepas mendarat pada kelajuan tinggi tanpa gear pendaratan sebelum terbabas melepasi hujung landasan. – AGENSI 22/1/2025