Hakisan pantai: Tanggungjawab Persekutuan

Kerajaan negeri sedia bantu

- Advertisement -

DUNGUN: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa isu hakisan pantai adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

- Advertisement -

Beliau berkata, perkara itu telah jelas dinyatakan dalam Senarai Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi panduan pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. 

“Kita kena faham bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan ada bidang kuasa masing-masing. Perkara yang berkait dengan hakisan ini adalah di bawah Senarai Persekutuan.

“Jadi, itu adalah tanggungjawab sebenar yang bukan sehari dua ini, bukan setahun dua, tetapi sejak Perlembagaan Persekutuan itu dirangka pada 1957.

“Jadi sebagaimana pembinaan jambatan, sekolah, kita kekal dengan tanggungjawab masing-masinglah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak TOD ECRL, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, supaya kerajaan negeri memohon kepada Perdana Menteri untuk menggunakan wang royalti bagi menangani hakisan pantai. 

Beliau turut menyifatkan penggunaan wang royalti sebagai langkah terbaik untuk mempercepatkan penyelesaian isu hakisan pantai, memandangkan keadaan yang semakin kritikal. 

Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu tersebut. 

“Walaupun perkara ini di bawah kuasa Persekutuan, kita tetap berbincang dan memberi kerjasama terutama jika melibatkan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri. Kita akan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025