Isu bayaran permit buskers RM200 sehari tidak benar

Rosli mengangkat lima jari bersama bersama Persatuan Buskers Terengganu di Menara MBKT, di sini, semalam.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengenakan bayaran permit sebanyak RM150 hingga RM200 sehari terhadap pemuzik jalanan atau buskers. 

- Advertisement -

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, kadar sebenar yang ditetapkan adalah RM200 bagi tempoh setahun, sekali gus menyangkal khabar angin yang tular sebelum ini. 

“Dakwaan bahawa MBKT mengenakan bayaran permit harian itu tidak benar. Setakat ini, kami juga tidak pernah mengeluarkan saman kepada mana-mana buskers.

“Walaupun ada yang dikesan mengadakan persembahan tanpa permit,” katanya selepas mengadakan sesi dialog bersama Persatuan Buskers Terengganu di Menara MBKT, di sini semalam. 

Menurut Rosli, pemuzik jalanan yang mendapat kelulusan MBKT akan diberikan kad seniman bagi membolehkan mereka mengadakan persembahan secara sah di tempat awam. 

“Namun, mengadakan persembahan tanpa permit menjadi satu kesalahan yang berdepan tindakan denda dan penjara mengikut subseksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 iaitu mengadakan aktiviti tanpa permit atau lesen.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tambah beliau, MBKT akan mengeluarkan garis panduan kepada semua seniman jalanan melibatkan masa dan lokasi persembahan.

Rosli turut mengingatkan pemilik premis perniagaan supaya mematuhi peraturan dengan mendapatkan permit hiburan jika ingin menampilkan persembahan buskers di premis mereka. 

“Pemilik premis yang menganjurkan aktiviti hiburan tanpa lesen juga boleh dikenakan tindakan.

“Mengadakan hiburan di premis tanpa permit atau lesen dan perbuatan itu merupakan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

“Jika disabitkan kesalahan berdepan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 20/1/2025