Siasat, jika sabit bersalah hentikan operasi KK Mart

Ulang sentuh sensitiviti: Disengajakan, cabar umat Islam?

- Advertisement -

ALOR SETAR: KK Mart yang pernah meletuskan kemarahan umat Islam Malaysia dalam isu stoking kalimah Allah, terbaharu sekali lagi mencetuskan kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ berlogo Halal palsu.

- Advertisement -

Pengerusi Gabungan Gerak Rakyat Hidupkan Amar Maaruf Hancur Aktiviti Maksiat (GERAHAM), Ustaz Noor Hakimi Ab Halim sehubungan itu menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas isu tersebut.

Malah lebih mengecewakan katanya, perkara tersebut berlaku di premis rangkaian kedai serbaneka itu di dalam universiti nombor satu Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

“KK Mart sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi seluruh Malaysia dengan penjualan stoking atau sarung kaki kalimah Allah sehingga mendorong kepada boikot besar-besaran seluruh negara.

“KK Mart seperti tidak belajar dari kesalahan yang lepas, dengan sikap tidak serik serta tidak endah kepada sensitiviti umat Islam Malaysia, hal itu sangat-sangat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambah beliau, kesalahan kali kedua ini berulang menyentuh sensitiviti ini, dilihat seolah-olah KK Mart hendak mencabar sekali lagi kesabaran umat Islam di negara ini dengan produk mereka.

GERAHAM tegasnya, menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau lain-lain yang berkaitan untuk tidak lagi berlembut atau berkompromi dengan tindakan dianggap biadab dan kurang ajar itu.

“Menjual makanan yang sah haram seperti daging babi dan kemudiannya menggunakan pula label Halal yang dikeluarkan JAKIM, adalah perlanggaran undang-undang secara terang-terangan.

“Ini benar-benar bukanlah satu kesilapan yang disengajakan. Sepatutnya pihak KK Mart telah mempelajari kesalahan lepas dan tidak mengulangi untuk mempermainkan sensitiviti umat Islam dan peraturan Halal JAKIM,” bidas beliau lagi.

Beliau turut mempertikaikan, jika sebelum ini rangkaian perniagaan Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) boleh ditutup, KK Mart juga perlu disiasat dan jika bersabit kesalahan perlu dihentikan pengoperasiannya.

“Provokasi ke atas kesabaran umat Islam adalah merbahaya kepada keharmonian negara, terutamanya Islam adalah Agama Persekutuan.

“Sepertimana maksud Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut, ‘Seorang mukmin tidak akan jatuh lubang yang sama dua kali’,” tegasnya lagi.

Kelmarin, media melaporkan UM telah menutup dua premis jualan runcit 24 jam serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang diragui halal.

UM dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan penutupan tersebut dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan yang dilaksanakan untuk mengesahkan dakwaan tersebut tidak terganggu.

Kenyataan itu memaklumkan terdapat penemuan produk pek sandwic memaparkan label ‘ham & cheese’ serta keraguan terhadap penggunaan logo Halal bagi produk tersebut telah didapati di gedung berkenaan. – HARAKAHDAILY 14/1/2025