Terengganu rancang labuh 140 tukun tiruan tahun ini

Tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan Terengganu tahun lalu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bercadang meningkatkan jumlah tukun tiruan yang dilabuhkan kepada 140 unit pada tahun ini, berbanding 100 unit pada tahun 2024. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pelabuhan tukun tersebut akan dilaksanakan di lima daerah, kecuali Hulu Terengganu. 

“Bagi tahun 2025 kita target untuk labuhkan 20 unit tukun tiruan bagi setiap daerah kecuali Hulu Terengganu.

“Bermakna kita akan labuhkan 140 unit tukun dengan peningkatan 40 unit ketimbang 100 unit pada tahun 2024,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurut Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Hulu Terengganu tidak terlibat dalam program tersebut kerana kesukaran melabuhkan tukun di kawasan itu meskipun mempunyai Pantai Ali. 

“Hulu Terengganu walaupun ada Pantai Ali tapi kita tak dapat nak labuh tukun. Insya-Allah kita ganti dengan Program Perlepasan Anak Benih Ikan ke sungai dan tasik sebagai sumber rezeki nelayan darat,” ujarnya. 

Pada tahun lepas, Terengganu mencatat sejarah baharu apabila berjaya melabuhkan 100 unit tukun tiruan, melibatkan lima daerah iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. – HARAKAHDAILY 12/1/2025