Tuntut keadilan sama rata, bukan raih manfaat politik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan menegaskan bahawa solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak adalah sebahagian daripada perjuangan menuntut keadilan yang sama rata kepada semua pihak, bukan demi kepentingan politik.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Kamal Mohamad berkata, PAS konsisten dalam menolak sebarang bentuk kezaliman tanpa mengira latar belakang politik individu.

“Mana-mana orang, termasuk pemimpin, perlu diberi keadilan untuk dibicarakan. PAS sentiasa mendukung dan menyokong supaya satu perbicaraan yang adil dilakukan tanpa mengira siapa, sama ada Najib atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau turut mengingatkan bahawa PAS pernah membela Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berdepan tuduhan liwat dahulu, di mana Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menulis buku khusus mengenai qazaf untuk mempertahankan beliau.

“PAS membela mana-mana pihak yang tidak diadili dengan kaedah betul. Kami mahukan proses perbicaraan Najib diadili dengan sebaiknya,” tambahnya.

Sementara itu, tular memo mengenai himpunan solidariti yang bakal diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari ini.

Bagaimanapun, tindakan tersebut mendapat kritikan daripada Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad, yang mendakwa PAS mempunyai agenda politik tersendiri.

Khalid turut mencadangkan agar PAS menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada nama parti, namun Mohd Kamal membidas kenyataan itu.

“Perkataan ‘Islam’ dalam nama PAS sudah ada semasa Khalid bersama PAS. Kenapa dia tidak membantah ketika itu? Umno juga pernah mencuba menghapuskan perkataan ini, tetapi akhirnya Majlis Raja-Raja membenarkannya,” jelas Mohd Kamal.

Himpunan solidariti itu dijangka mengumpulkan ahli PAS dari seluruh negara, dengan tujuan menuntut proses perbicaraan yang adil bagi semua pihak, termasuk Najib Razak. – HARAKAHDAILY 1/1/2025