Nafi Titah Adendum bukti rendah moral kerajaan

- Advertisement -

PAS WILAYAH PERSEKUTUAN mengecam tindakan sesetengah pihak dalam kerajaan yang cuba menafikan Titah Adendum sebagai panduan dan arahan yang jelas daripada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan keengganan mereka untuk mematuhi panduan yang diberikan, malah mencerminkan tahap moral dan integriti yang amat rendah dalam kalangan pemimpin kerajaan. PAS Wilayah Persekutuan berpendirian bahawa setiap titah dan arahan daripada pihak Istana Negara harus dihormati dan dilaksanakan demi kestabilan serta kesejahteraan rakyat.

PAS Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa:

Mengabaikan Titah Adendum adalah satu bentuk penghinaan kepada sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pemerintahan negara ini.

- Advertisement -

Kerajaan seharusnya menunjukkan teladan yang baik dalam mematuhi nasihat dan panduan yang diberikan oleh pihak Istana, bukan mencemarkan imej institusi dengan sikap tidak bertanggungjawab.

Sikap sedemikian hanya menghakis kepercayaan rakyat terhadap pemerintah, sekali gus mencetuskan lebih banyak keresahan dan ketidakstabilan politik.

PAS Wilayah Persekutuan menyeru rakyat Malaysia untuk terus peka terhadap isu ini dan bersama-sama mempertahankan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan. 

PAS juga menggesa kerajaan untuk kembali ke landasan yang betul dengan menghormati dan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda tanpa sebarang dolak-dalih.

“Keadilan dan kestabilan hanya boleh dicapai dengan pemimpin yang bermoral tinggi serta berpegang teguh kepada prinsip kebenaran dan keadilan,”

PAS Wilayah Persekutuan akan terus menjadi suara rakyat dalam menegakkan prinsip-prinsip ini demi kepentingan negara.

USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 11/12/2024