SELEPAS naiknya Bashar al Assad tahun 2000, negara Syria terus bergolak. Jutaan pelarian meninggalkan negara dan terkandas di negara-negara jiran seperti Turkiye, Jordan, Lubnan, Greece dan beberapa negara lain lagi. Peperangan terus memuncak sehingga jutaan penduduk mati akibat konflik dalaman tersebut.
Kali pertama masuk Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT) menghantar bantuan kepada pelajaran Syria pada akhir tahun 2013. Pada masa tersebut banjir besar Terengganu dan Kelantan sedang melanda. Hasil sumbangan orang ramai yang dikutip melalui kempen musim sejuk untuk membantu pelarian Syria melalui Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu, kami terus laksanakan amanah itu untuk disampaikan kepada mangsa-mangsa perang yang berada di sempadan Turkiye. Walaupun pasukan misi kemanusiaan kami tidak dapat masuk ke dalam Syria sama ada ke Aleppo atau Idlib, tetapi di sempadan pun sudah dapat disantuni jutaan pelarian yang terdampar dalam wilayah sempadan Turkiye — Reyhanli.
Kerajaan Turkiye melalui NGOnya memberi peluang yang besar kepada kami untuk menghantar misi bantuan tersebut. Boleh dikatakan Yayasan Amal Malaysia adalah antara NGO yang terawal menghantar bantuan kepada pelarian Syria semasa konflik memuncak.
Tahun-tahun berikutnya kami terus menghantar bantuan yang disalurkan melalui YAMCT kepada pelarian semakin bertambah. Terutama sekali ada akhir tahun yang anak-anak pelarian selalu ditimpa musibah musim sejuk di bawah khemah-khemah yang dhaif. Kami cuba membuka laluan lain selain dari laluan Turkiye iaitu melalui sempadan Jordan pada tahun 2015 dan 2016.
Suasana perang di Syria semakin meruncing tahun 2017. Timbul isu keselamatan dan konflik geopolitik yang semakin kompleks, menyebabkan bantuan misi kemanusiaan melalui Turkiye mahupun ke Jordan mempunyai sedikit masalah. Yayasan Amal Malaysia Pusat memutuskan segala bantuan antarabangsa wajib terlebih dahulu diuruskan oleh Yayasan Amal Pusat, bukan lagi Yayasan Amal negeri-negeri yang telah sekian lama membuat kutipan dana. Kami akur dengan keputusan itu.
Setelah saya tidak bersama dengan Yayasan Amal Malaysia, 2018 saya merasakan sumbangan orang ramai kepada pelarian Syria itu perlu diteruskan. Aktiviti pertama Warga Cakna keluar negara adalah ke sempadan Turkiye untuk menyantuni pelarian Syria. Syukur dengan kempen musim sejuk pelarian Syria, kami dapat perhatian ramai dari rakyat Malaysia yang selalunya tidak lokek untuk membantu. Bantuan dalam bentuk pakaian musim sejuk dan makanan berjaya sampaikan. Tahun 2019 pun sekali sekali lagi kami berjaya menghantar bantuan hasil gabungan kerjasama dengan NGO Iman Care.
8 Disember lalu rejim Bashar al Assad tumbang setelah hampir 24 tahun memegang takhta Syria. Semoga pemerintahan baharu Syria dapat menyelesaikan konflik dalaman dengan segera. Dunia agak terkejut dengan perkembangan itu, terutama sekali krisis Timur Tengah yang berlarutan sejak beberapa lama dirungkai satu persatu.
Kami, sebagai penggerak misi kemanusiaan ke negara-negara Islam yang terpinggir, adalah mengharapkan kemenangan Hayah Tahrir Al Syam (HTS) itu membuka lebaran baharu untuk kami menghantar bantuan kepada rakyatnya yang terpinggir selama ini. Sesungguhnya bumi Syam itu mempunyai sejarah yang panjang dan disebut-sebut akan berlaku satu peristiwa besar akhir zaman di bumi bertuah itu.
DR SUHAZELI ABDULLAH
Relawan Misi Kemanusiaan
Warga Cakna – HARAKAHDAILY 10/12/2024
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.