KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu), menyambut baik usaha kerajaan untuk menambah baik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 seiring dengan perkembangan pesat teknologi digital.
Menurut beliau, pindaan tersebut perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kekeliruan serta potensi penyalahgunaan yang boleh menjejaskan hak kebebasan bersuara.
“Walaupun media sosial hari ini memerlukan suatu undang-undang peraturan untuk mengatur, mengawasi namun dalam memperbaiki segala kekurangan, kita juga perlu melihat beberapa pindaan yang dianggap terlalu luas pentafsirannya dan dibimbangi akan disalahgunakan di masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, media sosial seharusnya menjadi medium mendidik masyarakat ke arah pemikiran matang serta memupuk perpaduan, malangnya, kini sering digunakan untuk tujuan negatif.
“Perkembangan teknologi digital dan IT, media sosial dan multimedia menjadi semakin penting buat rakyat Malaysia.
“Media sosial sepatutnya menjadi sarana ataupun medium untuk mendidik minda rakyat agar menjadi semakin matang bermaklumat perpaduan dan keharmonian.
“Malangnya kalau kita lihat hari ini media sosial telah menjadi alat propaganda alat membina perspektif negatif terhadap individu atau mana-mana organisasi dan tempat menanamkan kebencian sesama warga,” katanya.
Bakri turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pindaan Fasal 91 Seksyen 233 yang menggantikan istilah ‘jelik’ kepada ‘jelik melampau’, yang dianggap bersifat subjektif dan berpotensi membawa kepada kekeliruan dalam pelaksanaannya.
Menurut pindaan tersebut, kandungan ‘jelik melampau’ merangkumi unsur memaki, tidak senonoh, menyinggung perasaan ramai pihak, rujukan kasar seperti kata-kata lucah, serta ucapan kebencian yang menghina atau menjatuhkan maruah individu.
Katanya, skop definisi yang luas itu boleh menimbulkan risiko penyalahgunaan dan menjejaskan hak kebebasan bersuara.
“Apa nilai ambang ataupun sebenar kepada terma jelik melampau bagi kesalahan Seksyen 233? Disebabkan istilah subjektifnya yang membawa kepada kekaburan terhadap kesalahan di bawah Akta 588, bagaimana kerajaan memastikan benda ini tidak terdedah kepada sebarang salah tafsiran dan apa jua keliruan tanpa mengongkong kebebasan hak bersuara dan tidak bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan kerajaan untuk meraikan perbezaan pendapat dan menyuburkan ruang demokrasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2024