Kembali semula kegemilangan Pelabuhan Chendering

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Isu air cetek ditambah dengan kekurangan infrastruktur di pelabuhan dan jeti-jeti perikanan menjadi antara faktor yang merencatkan perkembangan industri perikanan Terengganu.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, banyak bot nelayan laut dalam C dan C2 yang berdaftar di Terengganu tetapi terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain ekoran kerana isu itu.

Beliau berkata, antaranya mereka berpindah pengkalan ke Pelabuhan Tok Bali atau Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan walaupun mereka masih menangkap ikan di perairan Terengganu.

“Isu asas ini perlu diselesaikan untuk kita menggamit kepulangan kembali bot-bot Terengganu supaya mendaratkan hasil tangkapan di negeri sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook beliau, malam tadi.

Tambahnya, Pelabuhan LKIM Chendering (PLC) tidak terkecuali menerima tempias daripada situasi ini.

Jelasnya, PLC yang mula beroperasi pada 1983 dan melalui zaman kegemilangannya pada tahun 90-an kini mulai suram.

Katanya, antara isu utamanya ialah mendapan pasir dan kedhaifan infra menyebabkan satu-satunya pelabuhan perikanan di negeri Terengganu ini bukan lagi pilihan utama sebagai tempat berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.

Menurutnya, dengan usaha daripada kerajaan negeri bersama LKIM, bermula dari Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu Tahun 2021.

Katanya, antara resolusi bengkel itu ialah PLC wajib dinaik taraf, diperkasakan dan dipulihkan semula.

“Setelah siap cadangan skop kerja, permohonan peruntukan telah diangkat oleh kerajaan negeri ke EPU JPM,” jelasnya.

Tambahnya, setelah melalui pelbagai proses yang agak panjang dan rumit, akhirnya pada 27 Februari 2023 Kementerian Ekonomi telah meluluskan RM192 juta untuk Projek Pembangunan dan Pemerkasaan PLC.

“Penghargaan dan terima kasih kepada semua team yang telah bekerja keras dalam melaksanakan misi sukar ini,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Beliau menjelaskan, bagi melaksanakan projek itu, dua Jabatan Teknikal (SO Projek) dilantik.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja-kerja di kawasan air dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kawasan daratan.

Tambah beliau, JKR telah selesai kerja-kerja pengukuran topografi dan pemetaan utiliti.

Menurutnya lagi, manakala kerja-kerja ukur hidrografi dan ukur topografi JPS telah bermula pada 1 Oktober 2024 sehingga Januari 2025.

“Projek terdiri dari 2 fasa. Fasa pertama kerja-kerja di daratan oleh JKR dan fasa kedua kerja-kerja dalam air oleh JPS,” ujarnya.

Kata beliau, kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada, pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak.

“Peringkat Makmal Kajian Nilai (Value Assesment-VA) telah selesai manakala Makmal Kejuruteraan Nilai (Value Engineering-VE) dijadualkan pada Januari 2025,” jelas beliau.

Beliau menambah, kerja-kerja bagi memuktamadkan skop projek dan beberapa kerja-kerja awalan sedang berjalan.

Katanya lagi, projek fasa satu dijadualkan siap pada Oktober 2028 sementara fasa 2 dijadualkan siap Ogos 2031.

“Dengan siapnya kerja-kerja ini, insya-Allah kita akan dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan PLC,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/12/2024