Titah adendum: Kerajaan takut bayang-bayang sendiri?

Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

PERMATANG PAUH: PAS Pulau Pinang meneliti isu ‘titah adendum’ yang tular beberapa hari ini dan berpendapat kerajaan bagaikan takut dengan bayang-bayang sendiri.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, berkata, kenyataan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengatakan ‘titah adendum’ itu daripada Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agung, adalah khabar angin, harus tampil memberikan penjelasan.

“Menteri berkenaan juga perlu memberi penjelasan selanjutnya dan membuktikan bahawa pendedahan Datuk Nizar Najib itu adalah khabar angin,” tegasnya pada satu kenyataannya, hari ini.

Tegasnya, Nizar sebelumnya telah membuat afidavit tambahan dan menyerahkan kepada mahkamah salinan titah adendum tersebut berkenaan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Logikkah Datuk Nizar berani mereka-reka titah daripada Sultan? Seperkara lagi, sekiranya benar titah itu telah diserahkan pada 29 Januari lalu, bermakna ia disorok dan dinafikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang,” tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Kerajaan PH sekarang juga, ujarnya kelihatan sudah membelakangkan prinsip perjuangan mereka sebelum ini yang menjunjung keadilan kepada semua pihak dalam mendapatkan pembelaan.

“Namun dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri ke-6 ini, seolah-olah dinafikan haknya dalam pembelaan.

“Malah dengan beraninya kerajaan sekarang cuba untuk mengganggu urusan perundangan,” tegas beliau lagi.

Oleh itu, jelas beliau, PAS Pulau Pinang mendesak agar kerajaan segera tampil menyatakan hal sebenar dan membenarkan perintah adendum itu. – HARAKAHDAILY 8/12/2024