KOTA BHARU: Kelantan mempunyai tenaga kerja, kepakaran dan kawasan strategik bagi membangunkan industri penternakan lembu hibrid malah menjadi peneraju sektor terbabit di negara ini.
Malah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, Kelantan mempunyai rizab haiwan masih luas dan tidak diusahakan.
“Kita ada potensi untuk kembangkan lagi penternakan lembu hibrid ini, kita ada tiga elemen yang penting untuk mengembangkan industri ini, kepakaran, tenaga kerja dan persekitaran.
“Sekarang ini hanya 30 peratus kawasan rizab haiwan ini sudah dibangunkan dan kita masih ada 70 peratus lagi kawasan ini yang boleh dibangunkan lagi,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Terdahulu beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘perkembangan industri penternakan lembu hibrid di Kelantan’ pada Seminar Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging di Malaysia, Jumaat lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu berkata lagi, kini sambutan rakyat terutamanya golongan belia terhadap sektor itu semakin meningkat selepas kerajaan negeri menawarkan insentif.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan mewujudkan NAIMbif, bagi menghasilkan daging yang halal, berkualiti dan bersih berasaskan hukum agama selari konsep Bertani Satu Ibadah.
Menurutnya kaedah penternakan induk Charolais selain penternakan dibuat secara intensif atau semi-intensif bagi tujuan pembiakan secara tertutup (bridlot) menjadi tarikan golongan itu.
“Sebelum ini orang muda membuat pilihan terakhir, sekarang mereka sudah berminat dan menjadikan bidang ini sebagai sumber ekonomi, bahkan ada yang sudah menjadi jutawan dengan bidang ini.
“Lembu hibrid keluaran kita ini mempunyai ciri-ciri yang menarik seperti pengeluaran daging yang tinggi dan bermutu, lembu ternakan yang jinak, mudah menyesuaikan diri,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/2024