Waspada hujan, angin, laut gelora bermula 8 Dis

Di Timur, Utara Semenanjung, juga Sabah dan Sarawak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan luruan monsun sehingga menyebabkan hujan berterusan di Timur dan Utara Semenanjung serta Sarawak dan Sabah bermula pada 8 hingga 14 Disember 2024.

- Advertisement -

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan pada masa yang sama.

“MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) yang melibatkan Timur dan Utara Semenanjung berkuat kuasa pada 8 hingga 11 Disember 2024. 

“Manakala, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa pada 8 hingga 12 Disember 2024,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau menasihati orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Sehubungan itu, menerusi kenyataan yang berasingan, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) di tujuh negeri bermula 8 Disember hingga 11 Disember ini.

“Hujan berterusan dijangka berlaku di Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling); Perak (Hulu Perak); Kelantan; dan Terengganu yang bermula 8 Disember.

“Seterusnya, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Mersing dan Kota Tinggi) yang bermula 9 Disember,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2024