Ketidaktentuan, lewat kebiasaan baru tatakelola Madani?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai kelewatan projek MyDigital ID dan 5G yang dilancarkan sejak 2021.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas itu malah turut menempelak, apabila perkara lebih memalukan adalah kelewatan itu disebabkan oleh kerajaan di bawah tanggungjawab Anwar sendiri.

“Hari ini, Perdana Menteri tampil dengan penuh semangat mengkritik kelewatan pelaksanaan MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua, menyalahkan ‘kecuaian’. Pelik dan ganjil.

“Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kelewatan ini adalah kerajaan beliau sendiri. Atau mungkin, dalam era ‘tatakelola Madani’, kelewatan dan ketidaktentuan menjadi kebiasaan baharu yang kita semua perlu terima,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Perikatan Nasional (PN) melancarkan Pelan MyDigital pada 2021 dengan sasaran menyumbang RM70 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025, namun kini projek berkenaan hanya sekadar nama di dokumen.

“Di bawah PN, liputan 5G mencapai 55 peratus kawasan berpenduduk pada 2022 iaitu lebih pantas ketimbang Thailand dan Filipina. Tapi kini, sasaran 80 peratus liputan pada 2024 seakan hilang dalam ketidaktentuan tatakelola Madani.

“FDI (pelaburan langsung asing)? Menjunam daripada RM94 bilion pada 2021 kepada RM71 bilion pada 2023. Pelabur lari, rakyat rugi, tapi kerajaan sibuk dengan persepsi ketimbang penyelesaian,” bidasnya.

Beliau turut mengulas isu mengenai data 5G Kedua yang diberi kepada U-Mobile baru-baru ini serta keengganan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menolak MyDigital ID daripada digunakan dalam urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Mari sentuh isu sebenar kenapa U-Mobile? Kerajaan kata ia melalui proses tender. Tapi mengapa syarikat ini, ketimbang Maxis, Digi, atau Celcom yang sudah memiliki infrastruktur jauh lebih kukuh?

“Adakah ini satu lagi bab dalam kisah ‘tatakelola Madani’? Atau ada cerita di belakang tabir yang rakyat tidak tahu? Lebih memalukan, kenapa Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, awal-awal lagi menolak MyDigital ID daripada digunakan dalam urusan JPJ?

“Adakah ini bukti anggota kabinet sendiri tidak percaya kepada projek ini? Jika projek flagship kerajaan pun ditolak oleh menteri sendiri, apakah ini refleksi tatakelola yang mereka bangga-banggakan?” ujarnya.

Ahmad Fadhli membangkitkan sama ada perkara terjadi itu tanda bahawa kelemahan sebenarnya lebih besar daripada yang rakyat tahu dan menggesa Kerajaan Madani perlu berhenti mencari alasan, sebaliknya mula bertindak.

“Tapi kalau gagal lagi, siapa yang nak jawab kepada rakyat,” katanya sambil memberi ‘hint’ ada cerita lebih menarik di sebalik MyDigital ID. – HARAKAHDAILY 5/12/2024