KUALA LUMPUR: Definisi hukum syarak dalam Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 perlu diberikan penjelasan yang lebih jelas dan menyeluruh.
Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) menekankan bahawa pentingnya definisi hukum syarak kerana tidak hanya bergantung kepada mazhab tertentu seperti Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali semata-mata.
“Perkara ini sudah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pengkalan Chepa. Cuma persoalan saya ialah mengapa kita tidak mengambil suatu definisi yang lebih jelas, terang dan nyata mengenai hukum syarak.
“Bagi saya definisi yang lebih jelas ialah apa jua hukum yang bersandar kepada al-Quran, hadis, ijmak dan qias.. ini adalah definisi yang sepatutnya diangkat dalam pindaan ini untuk hukum syarak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Justeru, beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat turut mengatakan bahawa cadangan itu penting untuk memberikan kejelasan dan keseragaman dalam pemahaman hukum syarak yang akan diterapkan di Wilayah Persekutuan.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang kepada komuniti Orang Asli dari Parlimen Parit, Perak iaitu Kampung Suak Padi, Tumbuh Hangat dan Sungai Perah. – HARAKAHDAILY 5/12/2024