38 lori tangki hantar air ke lokasi terjejas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerja-kerja pembaikian paip air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah dijangka siap dalam tempoh seminggu.

- Advertisement -

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagaimanapun memberitahu ia bergantung keadaan cuaca semasa yang menyebabkan wujud risiko pergerakan dalam tanah cerun.

“Kerja pembaikian paip air mentah bersaiz 700 milimeter dan paip air terawat 500 milimeter di LRA Bukit Remah Tanah Merah sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh seminggu.

“Namun ia bergantung kepada keadaan cuaca semasa berikutan risiko cerun yang runtuh dan pergerakan tanah,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kerja-kerja membaik pulih dan menghentikan operasi LRA terbabit bermula Selasa lepas, menjejaskan bekalan air bersih kepada seramai 13,766 akaun pengguna.

Dalam pada sebanyak 12 lori tangki AKSB bersama 11 lori air kontrak dan lapan operator air dari negeri lain menghantar 15 lori tangki membantu mengagihkan bekalan air ke lokasi yang terjejas.

Selain itu sebanyak 26 tangki statik turut ditempatkan di lokasi-lokasi startegik di Tanah Merah bagi membekalkan bekalan air terawat kepada penduduk yang terjejas.

Pengguna boleh mengikuti perkembangan lanjut melalui laman sesawang, aplikasi MyAKSB, laman media sosial, Facebook, Instagram atau hubungi di talian 15777 untuk aduan dan pertanyaan. – HARAKAHDAILY 5/12/2024