UniMAP-UUM bergabung bantu mangsa banjir

- Advertisement -

KUBANG PASU: Seramai 200 sukarelawan staf dan pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), melaksanakan misi bantuan pasca banjir di dua sekolah di Kedah hari ini.

- Advertisement -

Misi bantuan itu bertujuan untuk membantu mangsa banjir yang terkesan dengan pembersihan kawasan sekolah yang dilanda banjir teruk beberapa hari lalu.

Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli berkata, kolaborasi dua universiti ini bertujuan membersihkan sekolah yang terjejas teruk, iaitu Sekolah Kebangsaan Banai dan Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, kerana ditenggelami air hampir ke tingkat dua.

“Selepas banjir surut, kawasan sekolah dipenuhi lumpur tebal dan kerosakan barangan,” ujarnya kepada misi bantuan daripada inisiatif digerakkan Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan sokongan penuh daripada UniMAP dan UUM.

Menurut beliau, pihaknya akan terus melaksanakan misi bantuan ini untuk meringankan beban mangsa banjir dari segi mental dan fizikal.

Beliau juga menegaskan, kerjasama antara UniMAP dan UUM menunjukkan komitmen tinggi kedua-dua universiti dalam membantu komuniti terkesan, selain memperkukuh hubungan sosial dan tanggungjawab bersama.

Misi bantuan ini turut melibatkan beberapa pihak, termasuk Majlis Perwakilan Pelajar, Sukarelawan Pelajar, dan staf dari pelbagai jabatan UniMAP.

Selain membantu di Kedah, misi ini juga diperluaskan ke Pantai Timur, dengan 100 sukarelawan tambahan terlibat.

Sejak 30 November lalu, UniMAP telah menghantar hampir 200 sukarelawan untuk misi bantuan mangsa banjir di Perlis dan Kedah. – HARAKAHDAILY 4/12/2024