KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) menuntut kerajaan menjelaskan kaedah pemantauan terhadap projek pemasangan lampu LED dan solar di bawah program Lampu Jalan Kampung, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau menyatakan keperluan mendesak untuk memastikan projek itu dilaksanakan dengan berkesan di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Kelantan.
“Soalan asal dari Sarawak dan yang jawab Timbalan Menteri dari Sarawak juga. Saya nak bawa soalan ini ke Semenanjung Malaysia, khususnya ke Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Latiff turut meminta kerajaan memberikan penjelasan mengenai perancangan menyeluruh projek tersebut, termasuk lokasi yang telah dikenal pasti, garis masa pelaksanaan, serta jumlah jalan yang terlibat, khususnya di kawasan Kuala Krai.
“Kalau boleh sebut kalau ada timeline dan berapa jalan yang terlibat, khususnya di Kuala Krai,” tambah beliau.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dalam jawapannya berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merancang pemasangan lampu solar di seluruh negara pada 2025, dengan empat negeri—Sarawak, Pahang, Perak, dan Johor—telah dikenal pasti untuk fasa pertama.
Menurutnya, pemantauan projek itu dilakukan melalui Pejabat KKDW negeri berdasarkan permohonan penduduk kampung, dengan pelantikan kontraktor di Sarawak, manakala bagi Semenanjung, proses pemilihan kontraktor sedang berlangsung.
Tambahnya, pemasangan akan dilakukan di lokasi yang memenuhi kelayakan, dengan pemantauan rapi sebelum dan semasa pelaksanaan projek.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis) minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan apakah status permohonan lampu jalan di kawasan luar bandar dalam Parlimen Tanjong Manis yang telah dikemukakan kepada Kementerian sejak tahun 2023. – HARAKAHDAILY 4/12/2024