TUMPAT: Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkenan melawat mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjung.
Baginda turut berkenaan mengurniakan sumbangan kepada 225 mangsa banjir kepada 63 keluarga. (Foto atas)
Selain itu menyampaikan saguhati sebagai penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan yang menguruskan mangsa banjir di PPS tersebut.
Agensi tersebut iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Tumpat, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamatan, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sekolah.
Sementara itu Pegawai JKM Tumpat, Fathiah Ibrahim berkata, sehingga jam 8 pagi tadi sebanyak 47 PPS masih beroperasi dalam jajahan terbabit.
Katanya, jumlah tersebut membabitkan 6,542 isi rumah dengan 21,082 mangsa dari tujuh mukim
Turut hadir Ketua Polis Kelantan, Dato’ Mohd Yusoff Mamat; Ketua Jajahan Tumpat, Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin dan Pengarah Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin. – HARAKAHDAILY 3/12/2024