Kelab motor bantu ringankan beban ahli terjejas banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Skuad Ziarah Kasih MS telah menggerakkan usaha membantu ahli-ahli Kelab Motor Seranta yang terjejas akibat bencana banjir menerusi ziarah diadakan, di sini semalam.

- Advertisement -

Presiden Kelab Motor Seranta, Polie Suhaizli Salleh mengetuai usaha menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda dari Demit, Kubang Kerian, menuju ke empat lokasi kediaman ahli kelab yang terkesan.

Bantuan berupa keperluan asas harian telah disalurkan hasil kutipan tabung kilat yang dilancarkan dalam tempoh kurang 24 jam.

Selain itu, Kedai Runcit Nurul Bakyah di Pengkalan Chepa turut menyumbang barangan keperluan bagi meringankan beban mangsa.

Penasihat Utama Kelab Motor Seranta, Zakuan Hussin berkata, tindakan pantas warga MS membantu sesama ahli menunjukkan nilai kecaknaan yang wajar dicontohi oleh komuniti peminat motor lain.

“Tindakan kita ini bukan sahaja membantu dari segi material, tetapi turut menyuntik semangat kepada mereka yang terkesan. Walaupun sumbangan kecil, nilai persahabatan dan solidariti yang ditunjukkan jauh lebih bermakna,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, skuad ini juga mengambil kesempatan menziarahi isteri Ustaz Sanusi Benn Shata yang sedang menjalani rawatan di rumahnya di Jerteh akibat radang kaki.

“Skuad MS turut menyampaikan solidariti kepada ahli lain seperti Mohd Hafiz Baresi Fansoory, Ustaz Sanusi, Fadli Mansor, dan Azhar Haerta yang terkesan akibat banjir,” katanya lagi.

Pihak kelab memberi jaminan akan terus bersedia membantu mereka pada bila-bila masa diperlukan.

Tambahnya, semangat kebersamaan ini mencerminkan nilai murni yang dipegang oleh Kelab Motor Seranta dalam mengharungi cabaran bersama. – HARAKAHDAILY 3/12/2024