KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang telah terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan bantuan dan sokongan sepanjang musim banjir melanda negeri ini.
“Penghargaan ini khusus ditujukan kepada agensi-agensi keselamatan yang berhempas pulas menyelamatkan mangsa-mangsa banjir dan
memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada mereka.
“Begitu juga kepada agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), para sukarelawan dan tidak dilupakan kepada pempengaruh serta personaliti yang turut berpartisipasi dalam menyampaikan bantuan secara langsung kepada mangsa-mangsa banjir.
“Sesungguhnya semangat tolong-menolong dan keprihatinan yang
ditunjukkan mencerminkan kekuatan persaudaraan Islam dan
kepedulian sosial dalam kalangan masyarakat kita, yang berjaya mengatasi segala perbezaan yang wujud,” katanya pada kenyataan hari ini.
Menurutnya, setiap kesusahan itu adanya kesenangan
yang akan kunjung tiba dan seluruh rakyat hendaklah berganding bahu
dan bersatu hati dalam menghadapi ujian ini dengan segala bentuk bantuan agar susah senang dihadapi bersama.
Sementara itu, Menteri Besar sendiri antara puluhan ribu rakyat Kelantan yang menjadi mangsa banjir, bagaimanapun beliau meneruskan tanggungjawabnya sebagai pemimpin cakna pada rakyatnya sejak Kelantan mula dilanda banjir 24 November lepas.
Beliau sendiri mengemudi bot untuk mengagihkan bantuan pada mangsa-mangsa banjir selain menyantuni mereka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Hari ini jumlah mangsa banjir di Kelantan yang masih tinggal di 125 PPS seramai 50,555 dari 16,094 keluarga dengan Daerah Pasir Mas masih mencatat jumlah tertinggi seramai 25,167 dari 8,286 keluarga setakat pukul 12:27 tengah hari ini. – HARAKAHDAILY 3/12/2024