PASIR MAS: Sebanyak 500 bungkusan nasi termasuk bekalan lain telah diagihkan kepada mangsa banjir yang berada di Pusat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Gelang Mas dan Masjid Gelang Mas.
Sumbangan itu iberikan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan, dengan kerjasama Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang disediakan Masjid Ar-Rahim dan Masjid Batu Tinggi, Kok Lanas.
Sumbangan berupa sarapan pagi itu telah disampaikan wakil Yayasan Amal Malaysia Kelantan, Ustaz Nik Mahadi Nik Mahmood.
Sehubungan itu Yayasan Amal turut merakamkan penghargaan kepada pihak Masjid Ar-Rahim dan Masjid Batu Tinggi termasuk jemaah kedua-dua masjid yang bertungkus lumus menyediakan makanan dan bekalan untuk mangsa banjir.
“Semoga Allah SWT mengurniakan pahala dan rezeki melimpah ruah atas budi baik mereka. Kami berharap segala gerak kerja ini dirahmati dan diberkati Allah SWT, insya-Allah,” ujar Nik Mahadi dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, orang ramai yang ingin turut serta menyumbang kepada misi ini boleh menyalurkan sumbangan masing-masing melalui Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan Maybank 5530 1060 6605 (Banjir Kelantan 24).
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024