Tangguh SPM langkah yang wajar – Pemuda PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia bimbang situasi banjir besar bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian rakyat, tetapi turut memberi impak besar kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

- Advertisement -

Ketua Sektor Pendidikan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Aizat Zakaria berpandangan, pelaksanaan SPM dalam suasana krisis seperti ini akan memberikan tekanan emosi dan fizikal kepada para pelajar yang terlibat.

“Ramai daripada mereka dan keluarga masing-masing terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara, kehilangan harta benda, dan menghadapi cabaran logistik untuk meneruskan persediaan.

“Sehubungan itu, kami menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil langkah proaktif dengan menangguhkan tarikh peperiksaan SPM sehingga keadaan kembali stabil.

“Penangguhan ini penting bagi memastikan semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk membuat persediaan tanpa gangguan akibat bencana alam,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Pemuda PAS juga katanya, menyeru agar KPM menyediakan bantuan tambahan kepada pelajar terjejas, termasuk sokongan psikologi, bahan pembelajaran, dan akses kepada kelas tambahan secara dalam talian atau fizikal apabila keadaan mengizinkan.

“Kami yakin, keputusan menangguhkan peperiksaan SPM adalah langkah yang wajar demi kebajikan dan masa depan generasi muda negara. Kami sedia memberi kerjasama kepada pihak KPM dalam memastikan pelaksanaan langkah-langkah ini berjalan lancar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/12/2024