SPM: Jangan berlaku kemalangan jiwa, baru beri keputusan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menyifatkan pelaksanaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika musim banjir sebagai isu besar yang perlu perhatian segera dan pertimbangan teliti.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil kira keselamatan, kebajikan, serta prestasi pelajar yang terjejas akibat bencana alam ini.

“Banjir boleh menyebabkan jalan terputus, arus deras, dan risiko penyakit. Keselamatan pelajar dan guru perlu diutamakan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan. 

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa banjir boleh menghalang pelajar daripada sampai ke pusat peperiksaan tepat pada masanya, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. 

“Pelajar pada ketika ini memerlukan lebih banyak sokongan emosi daripada keluarga dan guru untuk menghadapi cabaran semasa banjir,” katanya lagi. 

Dalam usaha menangani isu peperiksaan yang terganggu akibat keadaan semasa, Muhammad Hanif mencadangkan dua langkah penyelesaian utama.

Menurutnya, langkah pertama ialah penangguhan peperiksaan SPM ke tarikh yang lebih selamat, membolehkan pelajar fokus kepada keselamatan dan persediaan. 

Langkah kedua katanya, adalah pelaksanaan peperiksaan dalam talian bagi kawasan yang terjejas, dengan syarat infrastruktur teknologi mencukupi dan dapat diakses di kawasan terjejas. 

“Pelaksanaan SPM ketika musim banjir perlu diteliti dengan berhati-hati untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat,” jelasnya. 

Beliau turut memberi amaran agar kerajaan tidak berlengah dalam membuat keputusan yang boleh melindungi keselamatan pelajar.

“Janganlah apabila telah berlaku kemalangan jiwa, baru terhegeh-hegeh membuat keputusan,” tegasnya. 

Muhammad Hanif menambah bahawa beliau pernah melihat sebuah cerita Tamil di mana seorang anak mengadu kepada polis bahawa ayahnya sedang dipukul oleh gangster, dan polis menjawab, ‘Dah mati nanti datang buat laporan’.

“Menteri (diminta untuk) segera bertindak!!” tegasnya. – HARAKAHDAILY 2/12/2024

- Advertisement -