Reka bentuk landasan elak banjir di jajaran ECRL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail mengadakan pertemuan dengan pengurusan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mengenal pasti punca berlaku banjir.

- Advertisement -

Beliau berkata, penduduk mendakwa projek ECRL menjadi punca air naik begitu cepat dan lambat surut.

“Kami mengambil insiatif selepas menerima aduan penduduk yang menjejaskan beberapa kampung sepanjang jajaran projek tersebut.

“Pertemuan tersebut bagi menambah baik projek tersebut selain berkongsi pandangan berkaitan saliran air khususnya pada musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Kita tidak menafikan perlu pembangunan ECRL, banyak manfaat yang bakal dinikmati rakyat, namun diadakan perbincangan dan perkongsian idea penambahbaikan pelaksanaan projek tersebut,” katanya di sini hari ini.

Perbincangan itu diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Selising. Turut hadir Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Saizol Ismail.

Pada sidang DUN baru-baru ini Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato Dr Izani Husin meminta Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh bersama pimpinan tempatan memainkan peranan menyelesaikan masalah banjir membabitkan laluan ECRL.

Masalah banjir turut membabitkan DUN Limbongan dan Gaal di Pasir Puteh di lokasi jajaran projek ECRL.

Tuan Mohd Saripudin yang juga ADUN Selising berkata, alternatif saliran air terbaik perlu mengambil kira kesesuaian reka bentuk landasan dengan faktor musim hujan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024