TUMPAT: Pihak keselamatan khususnya Pusat Kawalan Operasi Bencana akan membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang baru bagi menampung keperluan mangsa-mangsa banjir yang makin meningkat di Daerah Tumpat.
Terbaru, PPS yang baru dibuka di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Bustanus Saadah Morak ini bagi menampung keperluan mendadak mangsa-mangsa banjir, sejak malam tadi.
ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, sekiranya hujan berterusan dan mangsa banjir terus meningkat, PKOB akan mengenal pasti sekolah-sekolah yang sesuai untuk dijadikan PPS biarpun ia tidak tersenarai sebelum ini.
“Memandangkan banjir luar jangka sebagaimana berlaku sekarang, PPS yang disediakan tidak mencukupi, kerana itu usaha membuka PPS yang baru terpaksa dilakukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu meninjau perkembangan banjir serta menghantar bantuan di Kampung Talak di sini semalam.
Kampung Talak merupakan tempat transit pemindahan mangsa-mangsa banjir dari Kampung Cherang Melintang, Kampung Ana, Kampung Tok Oh, Kampung Jal Besar dan Pantai Mandul yang dibawa oleh pasukan keselamatan dengan bot.
Kakitangan Agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang lain pula menunggu mangsa banjir di Kampung Talak untuk dibawa ke PPS berdekatan.
Beliau memberitahu, penduduk Wakaf Bharu antara paling ramai dipindahkan ke enam buah PPS dengan anggaran mangsa 3,069 orang yang ditempatkan.
Katanya, antara PPS dalam DUN berkenaan, Sekolah Menengah Wakaf Bharu, Sekolah Kebangsaan Chabang Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat, Sekolah Kebangsaan Kubang Batang.
Turut dijadikan PPS katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan Arab Falahiah dan Sekolah Kebangsaan Kebakat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua petugas keselamatan yang beruniform, sukarelawan memasak dan sukarelawan membantu menyelamatkan mangsa banjir, NGO dan lain-lain kerana telah mengorbankan tenaga, nyawa untuk menyelamatkan mangsa banjir.
“Saya juga merayu pada mangsa-mangsa banjir supaya mengikut arahan berpindah. Janganlah bertangguh lagi sekiranya pihak mereka arahkan kita berpindah,” katanya.
Tambahnya, tindakan ‘menangguh’ untuk berpindah bukan sahaja menyukarkan diri, sebaliknya kerja-kerja menyelamat pasukan keselamatan juga akan terjejas.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024