Pencapaian PAS Melaka serlah pengukuhan politik

- Advertisement -

KOTA MELAKA: PAS Melaka telah menunjukkan perkembangan luar biasa terutama dari segi kemajuan dan kejayaan dalam mengukuhkan kedudukan politik dan pembangunan infrastruktur parti di negeri ini.

- Advertisement -

Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Noh Omar menyatakan kekaguman terhadap komitmen PAS dalam memastikan setiap kawasannya mempunyai pusat operasi yang tersendiri.

“Saya kagum dengan PAS Melaka, dulu kalau sebut PAS Melaka, mana pernah menang. Pernah sekali sahaja menang. Tapi hari ini, hebat PAS Melaka.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas satu kerusi pun tak menang, tapi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, dua kerusi Parlimen di Melaka dimenangi oleh Ahli Parlimen PAS, tahniah kita ucapkan kepada PAS Melaka.

“Ini yang saya memang kagum dengan PAS kerana di mana-mana ada markas PAS,” katanya ketika menyampaikan ceramah Pelancaran Pembangunan Kompleks PAS Melaka di Pekarangan Pejabat PAS Melaka di Semabok di sini semalam.

Bekas Pengerusi Umno Negeri Selangor itu berkata, kejayaan PAS Melaka mendirikan kompleks itu adalah bukti semangat perjuangan yang tidak pernah luntur dan menjadi mercu tanda kepada perjuangan parti.

“Tahniah kita ucapkan kepada pimpinan PAS Melaka dan tentulah kita percaya kepada Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga memberikan semangat yang kuat,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dalam ucapannya menegaskan bahawa perjuangan PAS adalah kesinambungan perjuangan Islam yang diwarisi daripada generasi terdahulu, khususnya Nabi Muhammad SAW.

Ahli Parlimen Jasin itu menjelaskan, perjuangan Islam yang didukung oleh PAS adalah satu usaha berterusan untuk mengembalikan semangat dan kekuatan umat agar istiqamah di atas jalan Islam.

“Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana pada malam yang bertuah ini, kita dapat melaksanakan agenda yang sangat penting yang telah dirancang sekian lama iaitu Pelancaran Pembangunan Kompleks PAS Melaka.

“Pelancaran ini menjadi cita-cita kepada seluruh ahli PAS Melaka yang jumlahnya tidak kurang daripada 22,000 ahli,” katanya pada majlis disempurnakan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu.

Tuan Guru Zulkifli juga berkata, cabaran yang dihadapi sepanjang zaman adalah sunnatullah bagi golongan beriman untuk mereka bangkit dan mempertahankan Islam.

“Perjuangan ini adalah merupakan suatu bukti di atas keimanan kita kepada Allah SWT dan keyakinan kita kepada Islam selaku sistem hidup yang tidak ada bandingan dan galang gantinya,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin merangkap Ahli Parlimen Tangga Batu. – HARAKAHDAILY 1/12/2024