KUBANG KERIAN: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengadakan lawatan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir dalam kawasan diwakilinya ini.
Beliau turut menemui penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan keluarga yang tidak berpindah, selain menyampaikan sumbangan bakul makanan.
“Hari ini, saya bersama kakitangan Pusat Khidmat Parlimen membuat lawatan ke beberapa buah rumah yang terkesan akibat bencana banjir di sekitar Parlimen Kubang Kerian.
“Sambil meninjau keadaan mereka, saya turut mengambil kesempatan untuk mengagihkan sumbangan bakul makanan dan bertemu penduduk di PPS sekitar Kubang Kerian,” katanya.
Timbalan Presiden PAS itu memberitahu, walaupun mangsa yang dipindahkan ke PPS berada dalam keadaan baik, namun terdaoat golongan seperti orang kelainan upaya, warga emas dan bayi kurang selesa.
Malah, keadaan bencana itu di Kelantan katanya, semakin membimbangkan kerana pihaknya dimaklumkan paras air sungai utama terus menunjukkan peningkatan setiap hari.
“Saya menyeru semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan para dermawan untuk bersama-sama menyumbang, sama ada dalam bentuk kewangan, makanan dan sebagainya.
“Selain itu pakaian, peralatan solat dan kelengkapan asas lain bagi meringankan beban mangsa, marilah kita bersama-sama berda agar Allah mengangkat musibah ini,” katanya.
Dalam pada itu dianggarkan sebanyak 15 PPS masih beroperasi dalam Parlimen Kubang Kerian yang membabitkan lebih 3,000 penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut.
Sementara itu kemaskini InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sedikit perubahan hari ini apabila mangsa terus berkurangan berbanding data pagi tadi.
Seramai 96,672 mangsa membabitkan 29,774 keluarga masih berlindung di 279 PPS di sembilan jajahan sehingga jam 1:35 petang berbanding seramai 96,733 dengan 29,938 keluarga 12 tenghari tadi.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024