BAITULMAQDIS: Bekas Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon, menyifatkan tentera Israel melakukan penaklukan, pengilhakan dan penghapusan etnik di Gaza
“Apa yang berlaku di sana? Tiada lagi Beit Lahia, tiada lagi Beit Hanoun, tentera campur tangan di Jabalia dan sebenarnya tanah itu dibersihkan daripada orang Arab,” katanya ketika ditemubual saluran swasta, DemocratTV, pada Sabtu.
Yaalon, 74, yang juga Ketua Tentera Israel antara 2002 dan 2005, sejurus sebelum pengunduran unilateral Israel dari Gaza berkata, bahagian utara Semenanjung Gaza turut menjadi sasaran serangan Israel sejak 6 Oktober tahun lalu.
Menurut beliau, ia bertujuan untuk menghalang kumpulan HAMAS daripada berkumpul semula.
Selain itu, beliau turut pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum meletak jawatan pada 2016 kerana perselisihan faham dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Sementara itu, Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir berkata, perkara itu adalah ‘memalukan’ bagi Israel untuk mempunyai tokoh sebegitu sebagai Ketua Tentera dan Menteri Pertahanan.
Parti Likud pimpinan Netanyahu,yang pernah dianggotai Yaalon, menuduhnya berkata-kata kosong dan tidak jujurnya dengan menyifatkan ia sebagai hadiah kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan kepada kem musuh Israel.
Kenyataan itu merujuk kepada ICC yang mengeluarkan waran tangkap kepada Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant kerana disyaki melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di Gaza.
Terdahulu, Israel melancarkan serangan hebat ke atas Gaza, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera pada 7 Oktober 2023.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan dengan angka boleh dipercayai, lebih 44,000 orang terkorban yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 100,000 lain cedera.
Israel kini berdepan dengan tuduhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakannya di Gaza.
Awal bulan ini, jawatankuasa khas PBB menunjukkan korban orang awam yang ramai dan keadaan mengancam nyawa yang sengaja dikenakan ke atas rakyat Palestin.
“Pendakwaan Israel terhadap perang di Gaza adalah ‘selaras dengan ciri-ciri pembunuhan beramai-ramai’,” kata jawatankuasa itu dalam penggunaan pertama perkataan oleh PBB dalam konteks semasa perang di Gaza.
Israel menolak penilaian PBB itu sebagai ‘fabrikasi anti-Israel’. – AFP /HARAKAHDAILY 1/12/2024