Banner provokasi: ‘Isinya benar, caranya ekstrem’

- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan menyifatkan tindakan pihak tertentu menggantung banner provokasi di seluruh negeri ini sebagai tidak bermoral dan hanya menyemarakkan api permusuhan dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, laporan bergambar yang diterima menunjukkan banner-banner berunsur provokasi telah digantung di beberapa lokasi sekitar negeri itu menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Isinya benar, tetapi caranya agak ekstrem. Elok pula timing (masa) dia gantung pada sebelum hari Sidang DUN di Pahang. Kerja sebegini tidak boleh mendatangkan apa-apa faedah.

“Selain menyemarakkan api permusuhan dalam kalangan rakyat,” katanya menegaskan bahawa ahli PAS yang memahami dasar dan corak politik parti tidak akan sesekali melakukan perbuatan tidak bermoral seperti itu.

Mengulas lanjut, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Daerah Jerantut kerana telah mengambil tindakan segera menurunkan banner-banner tersebut pada waktu pagi.

Beliau turut menyeru PBT di kawasan lain untuk mengambil langkah yang sama.

Isu peruntukan wakil rakyat pembangkang

Dalam pada itu, Aireroshairi turut mengulas isu yang diketengahkan dalam banner-banner tersebut, khususnya berkaitan kerajaan negeri yang menafikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Beliau mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai diskriminasi politik yang melanggar prinsip keadilan.

“Peruntukan tersebut adalah hak rakyat, bukan milik parti politik tertentu. Penafian ini secara jelas menunjukkan sikap diskriminasi politik dan melanggar prinsip keadilan.

“Ia juga menafikan hak rakyat di kawasan yang telah memilih wakil pembangkang untuk bersuara dan mendapat layanan yang adil,” katanya.

- Advertisement -

Tambah beliau, tindakan menyekat peruntukan adalah tidak demokratik dan tidak menghormati pilihan rakyat.

“Rakyat telah memberikan mandat kepada wakil rakyat mereka melalui pilihan raya yang sah, dan sebarang usaha untuk melemahkan peranan wakil rakyat adalah satu bentuk penafian hak rakyat,” ujarnya.

Sikap kerajaan negeri BN-DAP

Beliau turut menyeru Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin BN-DAP untuk lebih fokus kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat, bukannya mengutamakan strategi politik yang menghukum pembangkang.

“Sikap seperti ini hanya menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti kerajaan,” katanya.

Sebagai cadangan, beliau menggesa kerajaan negeri untuk segera memulihkan peruntukan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti.

Ustaz Aireroshairi juga menggesa pentadbiran negeri benar-benar menumpukan kepada keperluan rakyat seperti menangani isu kos sara hidup dan pembangunan infrastruktur.

Komitmen PAS

Selain itu, Aireroshairi menegaskan bahawa PAS kekal komited menjadi suara pembangkang yang konstruktif dan tegas dalam memastikan hak rakyat tidak diabaikan.

Walaupun tindakan menggantung banner itu menimbulkan pelbagai reaksi, beliau menegaskan bahawa isu pokok yang diketengahkan iaitu keadilan dan demokrasi tetap menjadi keutamaan PAS.

Beliau berharap Kerajaan Negeri BN-DAP akan mengambil serius perkara itu demi kebaikan semua rakyat Pahang. – HARAKAHDAILY 1/12/2024