BANJIR di Kedah semakin memburuk walaupun hujan telah berhenti beberapa hari yang lalu. Jumlah mangsa meningkat lebih daripada 9,000 orang dan kemungkinan angka itu akan meningkat lagi dalam tempoh terdekat. Malah, jumlah itu tidak termasuk mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Sehingga 1 Disember, 53 PPS telah dibuka melibatkan tujuh daerah iaitu Padang Terap, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Sik, Kuala Muda dan yang terkini Daerah Baling.
Banjir kali ini dilihat lebih teruk berbanding September lalu, sehingga terdapat kawasan di mana ketinggian paras air hampir mencecah bumbung.
Malah, terdapat beberapa jalan ditutup sama ada sekitar Anak Bukit, Pokok Sena dan Kubang Pasu, termasuk Lebuh Raya Utara Selatan laluan arah Selatan KM 26.1, Jitra pada 29 November kelmarin.
Dalam pada itu selain agensi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertungkus-lumus membantu mangsa.
Mereka turut dibantu Pejabat Daerah, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), termasuk RELA dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) bersama ADUN-ADUN serta Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) juga tidak terkecuali.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sendiri tidak duduk diam, membantu, menyantuni, melawat serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, sungguhpun kediaman rasmi beliau turut dinaiki air.
Mereka bukan sekadar berjumpa mangsa banjir di PPS, tetapi menziarahi dan memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa yang berada di rumah.
Ada dalam kalangan mereka yang turut membantu menyediakan makanan dan terdapat juga sama-sama meredah air membantu mangsa memindahkan barangan rumah.
Itu tidak termasuk seperti dilakukan oleh Menteri Besar bersama ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah, meredah banjir dengan menaiki bot untuk meninjau keadaan beberapa kampung sekitar Jitra yang terkepung dengan banjir.
Malah, kesungguhan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya bersama ADUN Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood dan ADUN Alor Mengkudu, Muhammad Radi Mat Din turut meredah ‘laut Derang’ dengan bot untuk berjumpa dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Bukit Hijau.
Ibarat ‘ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni’ dan ‘ke lautan sama direnangi’, kesusahan rakyat yang ditimpa musibah tidak diabaikan. Perhatian dan bantuan semampunya dihulurkan. Kebersamaan ADUN-ADUN PN, saling membantu tidak boleh dinafikan.
ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari walaupun tidak berlaku banjir di DUN beliau, namun tetap berkongsi rasa dan simpati, turun ke PPS sekitar Anak Bukit, menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang berteduh di situ.
Kebajikan tanpa sempadan agama dan kaum, turut dibuktikan oleh Kerajaan Negeri melalui Exco Masyarakat Cina, India dan Siam yang juga ADUN Kulim, Wong Chia Zhen. Sumbangan dihulurkan kepada Wat Siam serta ahli agama mereka, berikutan rumah ibadat kaum tersebut turut ditenggelami banjir.
Walaupun banjir yang melanda hampir seminggu ini belum tahu bila akan pulih sepenuhnya, namun setakat ini tidak berlaku kehilangan jiwa dilaporkan. Agensi kerajaan juga dilihat lebih cekap memainkan peranan lantaran pengalaman yang sama dua bulan lalu, termasuk mangsa kejadian bersedia menerima dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Walaupun banjir dilihat satu musibah, namun di sebaliknya terdapat hikmah tersendiri yang bukan sahaja dapat menyatukan masyarakat tetapi mendidik hati lebih bersyukur serta mentaati Yang Esa.
Di sebalik kejadian banjir, rakyat juga dapat menilai pihak mana yang bersungguh, ikhlas membantu tanpa mengira waktu, terutama apabila banjir telah surut nanti.
Di situ, masing-masing akan dapat melihat gerombolan Tentera Merah dan Tentera Hijau yang bersedia menghulurkan bantuan tanpa dibayar, menolong seikhlas hati mencuci, membersih dan lain-lain.
Malah musibah banjir juga dapat memperkenalkan masyarakat kepada sukarelawan Khidmat Malaysia yang sanggup berpanas, berhujan, menyantuni mangsa-mangsa banjir menghulur pelbagai bentuk sumbangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024