Sultan Selangor tidak perkenan tukar nama UPM

- Advertisement -

SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan dengan cadangan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.

- Advertisement -

Tegas baginda, keputusan itu diambil selepas cadangan tersebut tidak dirujuk kepadanya selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir Universiti.

“Di sini beta menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana beta telahpun melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’,” titah baginda.

Penegasan itu dititah ketika baginda menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM, di sini pada Sabtu.

Tambah baginda, nama Universiti Putra Malaysia itu diambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

“Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan terutama yang melibatkan Universiti Putra Malaysia,” titahnya.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Khamis berhasrat membawa cadangan penukaran nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.

Katanya, perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara. – HARAKAHDAILY 30/11/2024