KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengambil tindakan segera dengan menyediakan rumah sewa untuk didiami keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil bermula malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata pihaknya juga akan membantu menguruskan pengebumian jenazah dua beradik yang terkorban dalam kejadian tersebut.
“Kami juga akan salurkan bantuan bersesuaian kepada mangsa yang dirawat di hospital,” katanya yang juga ADUN Ajil dipetik portal TRDI.my.
Dalam tragedi petang semalam, Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya, Siti Fatimah, 13, terkorban setelah rumah mereka dihempap tanah runtuh.
Abang mereka, Uzair, 17, yang terselamat ditemukan jam 5.17 petang dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan.
Ketika kejadian, ibu kepada tiga beradik itu tidak berada di rumah kerana sedang berniaga di Bukit Diman manakala salah seorang lagi anaknya sedang bekerja.
Media melaporkan, pasukan bomba menerima panggilan jam 4.59 petang sebelum pegawai dan maggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan dibantu BBP Wakaf Tapai kemudian digegaskan menuju ke lokasi kejadian. – HARAKAHDAILY 30/11/2024