BARU dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada 23 November 2022, Datuk Seri Tiong King Sing sudah mencipta pelbagai kontroversi sepanjang baru dua tahun perkhidmatannya.
Terbaharu, beliau terus menimbulkan polemik apabila mempertikai tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila mengkritik penguatkuasaan terhadap papan tanda iklan.
King Sing berkata, langkah DBKL itu mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya dan menyebabkan rasa tidak puas hati yang ketara serta menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan beberapa pelancong antarabangsa.
Sebelum ini lagi beliau telah cetuskan kontroversi apabila memecat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar atas alasan prestasi kerja yang tidak memuaskan.
Keputusan itu membangkitkan kemarahan orang awam dan sikap tidak senang penjawat awam terhadap sikap beliau.
Tidak terhenti di situ, King Sing terus bersikap ‘keras kepala’ apabila mencetuskan kontroversi apabila menyerang seorang pegawai penguatkuasa imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Alasan untuk menyelamatkan seorang pelancong China daripada diperas ugut, tetapi tindakan itu turut menyebabkan seorang warga tempatan membuat laporan polis berhubung kekecohan itu.
Pengadu membuat laporan tersebut selepas membaca laporan media berkaitan insiden yang tular di Balai Ketibaan KLIA itu dan penjelasan Menteri berkenaan.
King Sing turut didakwa menuduh pegawai imigresen meminta rasuah daripada pelancong itu dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadapnya.
Kekecohan sensitif ditimbulkan Menteri ini hingga mengundang kecaman awam adalah apabila mencadangkan hidangan berasaskan babi iaitu bak kut teh yang dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara.
Isu bak kut teh yang akhirnya disenaraikan sebagai makanan warisan negara itu mencetuskan polemik khususnya dalam kalangan pemimpin politik di negara ini.
Selain bak kut teh yang juga makanan tradisional masyarakat Cina, makanan lain yang turut tersenarai adalah burasak, mi kolok, nasi ambeng, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira.
Dalam sejarah penglibatan King Sing di arena politik, beliau pernah dikenali sebagai ‘mesin ATM BN’ kerana reputasinya yang bermurah hati memberi bantuan kepada rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN).
King Sing malah dikatakan pernah memberikan dana sebanyak RM20 juta kepada MCA dan mendapat kritikan ramai kerana ia sepatutnya disumbangkan untuk tujuan pembangunan negara tetapi dilihat lebih kepada untuk kegunaan politik. – HARAKAHDAILY 30/11/2024
Menteri setahun jagung yang penuh kontroversi
- Advertisement -