ALOR SETAR: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Negeri Kedah telah mengaktifkan operasi bantuan banjir dengan memberi tumpuan kepada mangsa banjir yang terperangkap di kediaman.
Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, walaupun Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka, tetapi masih ramai mangsa yang berada di kediaman mereka.
“Oleh itu tumpuan sukarelawan KM lebih kepada mangsa yang berada di kediaman yang tidak berpindah ke PPS, dengan menghulur bantuan makanan dan lain-lain keperluan berkaitan,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Khidmat Malaysia Kedah juga telah mengaktifkan semula pusat operasi bencana yang bertempat di Markas PAS Pokok Sena, bermula semalam.
Sementara katanya, Dapur Rakyat Kkhidmat Malaysia Kedah akan dimulakan pada hari ini dan akan dilaksanakan selama empat hari.
“Kita akan sediakan makanan sebanyak 1,000 pek setiap hari dan agihkan kepada mangsa banjir sekitar Alor Setar dan Pokok Sena,” katanya lagi.
Dalam pada itu Nurul Amin turut menyeru kepada orang ramai khususnya anak-anak muda untuk menyertai sukarelawan KM Kedah.
Operasi mencuci rumah-rumah terjejas selepas banjir surut ujarnya, memerlukan tenaga ramai, apatah lagi lebih daripada 1,434 rumah yang terlibat pada kejadian banjir kali ini.
“Sekarang ini Khidmat Malaysia telah mempunyai sukarelawan terdiri daripada entiti parti seperti Jabatan Amal, Briged dan Nusaibah dari kalangan muslimat.
“Tetapi kita hendak lebih ramai lagi untuk membantu menjayakan operasi mencuci ini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, telah melakukan lawatan ke beberapa PPS di Padang Terap dan Pokok Sena.
Antaranya, PPS Seri Bakti, PPS Bukit Tembaga, PPS Dewan Orang Ramai Kuala Pai dan PPS di SK Kuala Nerang.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 30/11/2024