TAHUN ini, sekali lagi musibah banjir besar melanda negara kita khususnya di negeri-negeri Pantai Timur (PT). Keadaan semakin genting apabila sesetengah kawasan di Kelantan dan Terengganu lumpuh sepenuhnya dan terputus hubungan.
Namun, dalam keadaan yang kritikal ini, sangatlah tidak wajar apabila ada pihak yang menangguk di air keruh, mengambil kesempatan menjadikan musibah ini sebagai modal politik untuk menjatuhkan lawan.
Sebaliknya, fahamilah faktor sebenar yang menyebabkan berlakunya fenomena ini. Berikut merupakan 4 fenomena alam yang mempengaruhi bencana banjir di negara kita.
1. Fenomena La Nina iaitu suhu permukaan laut di Lautan Pasifik bahagian Tengah dan Timur menjadi lebih sejuk daripada biasa yang mana akan mengubah pola angin dan hujan global. Ia berlaku setiap 2 hingga 7 tahun.
2. Kitaran Atmosfera-Hidrosfera (Hayunan Madden Julian – MJO) iaitu pergerakan awan tebal merentasi kawasan tropika dari barat ke timur. Kitarannya setiap 30-60 hari sepanjang tahun.
3. Monsun Timur Laut iaitu angin sejuk daripada Siberia bertiup yang juga membawa hujan lebat ke Asia Tenggara melalui Laut China Selatan. Berlaku dari bulan November hingga Mac setiap tahun yang menimpa pantai timur semenanjung, Sabah dan Sarawak.
4. Indian Oceon Dipole (IOD) iaitu perubahan suhu permukaan Lautan Hindi antara bahagian Barat dan Timur. Kekerapan berlaku antara Jun hingga November dan sekarang fasa negatif yang mana meningkatkan kelembapan dan curahan hujan.
Negeri-negeri Pantai Timur ditimpa keempat-empat fenomena ini serentak, menjadikan bencana banjir lebih teruk berbanding negeri-negeri lain yang hanya mengalami sebahagian fenomena sahaja.
Justeru, tindakan sesetengah pihak menyalahkan kerajaan negeri sepenuhnya adalah tidak adil, apatah lagi mengaitkan musibah ini dengan aktiviti pembalakan secara membuta tuli tanpa fakta yang jelas.
Sesungguhnya, musibah ini adalah ujian buat kita semua, bukannya senjata atau modal untuk menuding jari.
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA – HARAKAHDAILY 30/11/2024