KUALA LUMPUR: Jajahan Bachok masih menerima hujan berterusan dan semakin banyak kediaman penduduk yang ditenggelami air menyebabkan ramai mangsa banjir perlu dipindahkan segera.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dalam dikemaskini kepada Harakahdaily memaklumkan sudah 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam jajahan tersebut setakat jam 11:24 pagi tadi.
Menurut beliau, ia rekod tertinggi dalam sejarah berbanding lima PPS pada tahun 2022 dengan selama ini juga sekitar dua atau tiga PPS dibuka setiap kali musim banjir melanda negeri Kelantan.
Setakat ini juga maklum beliau, banjir tersebut telah melibatkan 5,672 mangsa dipindahkan dan beliau sendiri telah ke PPS di Maahad Amir Indra Petra dalam DUN Tawang yang baru dibuka dalam lawatannya pagi tadi.
“Banjir di Kelantan, kita usahakan yang terbaik. Doakan yang terbaik. Moga dipermudahkan segala urusan,” ujar beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.
Syahir turut memaklumkan bahawa aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah digerak atur bagi membantu usaha memindahkan mangsa-mangsa banjir ke kawasan selamat atau PPS.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dalam pada itu berkata, lebih 7,000 pegawai dan anggota pasukan keselamatan diatur gerak ke negeri tersebut.
Menurut beliau yang juga ADUN Meranti, ia bagi membantu mangsa banjir, selain dari tambahan aset-aset untuk bantuan iaitu antara aset yang diatur gerak adalah trak tiga tan dan lima tan.
“Selain usaha sedang diatur untuk menghantar trak yang lebih besar iaitu muatan tujuh tan. Segala aset berkenaan dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan ATM.
“Saya amat hargai kerjasama erat semua agensi terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir. Semoga gabungan kekuatan ini akan melancarkan serta melicinkan lagi misi bantuan seterusnya. Insya-Allah,” ujarnya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kemaskininya semalam menjangkakan luruan monsun kuat berlanjutan sehingga hujung hari ini berdasarkan analisis model cuaca terkini.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada dalam tempoh berkenaan.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana ini, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 30/11/2024