Tajaan swasta satu pelaburan, timbul konflik kepentingan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri yang ditaja syarikat-syarikat swasta adalah perkara salah di sisi undang-undang kerana mengundang ‘konflik kepentingan’, kata Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden.

- Advertisement -

“Lawatan yang melibatkan kerajaan seharusnya dilakukan dengan menggunakan dana kerajaan dan bukannya swasta,” katanya dalam sesi Bicara HD bertajuk ‘Dana Swasta dan Papan Tanda Bahasa Melayu: Hipokrasi Madani’ yang diadakan di Pejabat Harakah, semalam.

Menurut beliau, tajaan daripada syarikat-syarikat swasta itu adalah jelas bukan bersifat percuma semata-mata kerana sudah tentu mengharapkan balasan kerana akan dianggap bahawa tajaan itu satu pelaburan.

“Kita harus faham, tak ada perniagaan yang nak rugi kerana syarikat swasta menganggap tajaan sebagai pelaburan. Itu sebabnya undang-undang negara ini sudah menetapkan syarikat swasta tidak boleh menaja sebarang lawatan rasmi kerajaan.

“Walaupun syarikat-syarikat tersebut terdiri daripada GLC, tetapi akan tetap terbuka kepada konflik kepentingan dalam negara ini,” ujarnya menegaskan sekiranya perkara sebegini dilakukan ia bakal memberi kesan kepada tatakelola pentadbiran kerajaan.

Beliau juga mengakui masih menyayangi Perdana Menteri dan tidak mahu membiarkan kesalahan sebegini untuk terus dilakukan oleh itu berharap adanya pengakuan dan pembetulan terhadap perkara tersebut.

“Maka, saya nasihatkan Kerajaan Madani supaya jika ada buat salah, maka sebaik-baiknya mengakui kesalahan tersebut dan membetulkannya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Jumaat 22 November 2024 yang lalu berkata, kerajaan berjaya menjimatkan hampir RM1 juta untuk sewaan penerbangan khas lawatan tersebut

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, kerajaan membelanjakan RM1.662 juta atau 27 peratus daripada kos penerbangan khas manakala delegasi perniagaan menanggung sendiri 73 peratus daripada jumlah itu sebanyak RM4.5 juta. – HARAKAHDAILY 29/11/2024