SERDANG: Pameran dan Persidangan Antarabangsa ‘Asia Smart Farming & Food Security 2024’ (ASF 2024) secara rasmi melabuhkan tirainya semalam selepas tiga hari penganjuran bermula 26 November lalu di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM).
Bertemakan ‘Pertanian Tanpa Racun Perosak untuk Negara yang Lebih Sihat’, ASF 2024 yang dianjurkan oleh ABS Greentech Sdn Bhd selaku penganjur utama itu menekankan komitmen untuk menghasilkan pertanian yang lebih lestari dan selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, RM Ravichandar berkata, pihaknya komited membantu petani beralih kepada amalan bebas bahan kimia berbahaya melalui penggunaan teknologi terkini, di samping mendidik petani tentang kaedah pertanian lestari.
“Misi kami untuk memberi kesedaran tentang pertanian bebas bahan racun kimia dan untuk memastikan mesejnya sampai ke akar umbi pihak kami merancang untuk menubuhkan pusat latihan di setiap kawasan bagi mendidik petani tentang penanaman tanpa bahan kimia berbahaya, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kesihatan.
“Jika rakyat kita tidak sihat, negara kita juga tidak akan sihat. Acara ini adalah daripada petani untuk petani. Bersama-sama, kita sedang membina masa depan pertanian yang lebih sihat dan mampan untuk Malaysia dan dunia katanya,” katanya.
Menyentuh mengenai kekurangan golongan muda dalam sektor pertanian, beliau menekankan akan kepentingan untuk mempelajari ilmu teknologi terkini bagi menarik minat mereka dalam menceburi sektor berkenaan.
“Cabaran utama dalam sektor pertanian hari ini adalah kekurangan minat dalam kalangan generasi muda. Ramai petani Malaysia semakin berusia, dan tiada waris untuk meneruskan usaha mereka.
“Ilmu tentang teknologi terkini memainkan peranan penting. Petani muda akan dilatih menggunakan data dan peralatan berteknologi tinggi untuk mengoptimumkan hasil tanaman mereka.
“Sebagai contoh, di Belanda, petani kecil dengan hanya 3 hingga 5 ekar tanah mampu menguruskan sumber dengan lebih cekap melalui teknologi. Kami yakin amalan serupa boleh diterapkan di Malaysia,” katanya.
Antara syarikat Malaysia yang menyertai persidangan berkenaan adalah Adastra IP (M) Sdn. Bhd., ARISE Consulting, ViTrox Agritech, Vigor AgriBiotech Solutions, Picasynergy Holdings (M) Sdn Bhd, Pesticide Action Network Asia Pacific (PANAP), Global Psytech, Ken Microbes dan Aerodyne Group (Malaysia). – HARAKAHDAILY 29/11/2024