KOTA BHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan pihaknya akan melepaskan air Empangan Pergau seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
TNB Careline menerusi kenyataannya di Facebook memaklumkan setakat ini paras air Empangan Pergau masih terkawal.
“TNB ingin memaklumkan bahawa mesej tular yang kononnya Empangan Pergau, Kelantan akan melepaskan air adalah tidak benar.
“Pada masa ini, paras air di empangan Pergau berada pada paras normal dan terkawal,” kata TNB Careline itu lagi.
Pada masa yang sama menurut TNB Careline, pengurusan stesen juga telah memaklumkan status terkini empangan tersebut kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan Jawatankuasa Bencana Daerah Jeli.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat.
Terdahulu, TNB Careline turut memaklumkan setakat pukul 10.00 pagi ini, terdapat penambahan pencawang elektrik yang dihentikan bekalannya ekoran banjir semakin membimbangkan.
Antara kawasan terlibat, menurut TNB Careline Tumpat, Macang dan Kuala Krai.
Bagaimanapun terdapat juga pencawang elektrik di sekitar Machang dan Kota Bharu diberikan semula bekalan elektrik kepada pengguna.
Di Kota Bharu sebanyak enam bekalan elektrik tidak disambung, Tumpat (18), Pasir Putih dan Tanah Merah masing-masing (7), Machang (16), Pasir Mas (44) dan Kuala Krai (6).
TNB Careline turut mengingatkan orang ramai supaya menghindari tiang besi atau mana-mana pepasang TNB yang tenggelam bagi mengelak risiko renjatan. – HARAKAHDAILY 29/11/2024