NGO diseru turut bersama bantu mangsa banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Badan bukan kerajaan (NGO) disaran turun membantu mangsa banjir di kawasan masing-masing bagi mengimbangi mereka yang memerlukan pertolongan, termasuk waktu sama di tempat berlainan juga.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim berkata, apabila mangsa banjir perlu diselamatkan serentak di tempat yang berlainan, ketika itu akan berlaku kelewatan untuk membantu.

Katanya, beliau juga tidak menyalahkan mangsa banjir apabila lewat melaporkan kejadian tempat mereka sudah dinaiki air.

“Mungkin mereka terkejut sebelum ini tidak pernah berlaku banjir atau hanya paras biasa, tiba-tiba air naik dengan cepat menyebabkan mereka kehilangan arah untuk mendapatkan bantuan.

“Cuma kita minta semua mengambil perhatian memandangkan banjir ini berlaku tidak sebagaimana biasa yang ada fasa satu, fasa dua dan fasa tiga,” katanya.

Tetapi menurut Rohani, banjir fasa satu yang berlaku bermula 22 November lalu melebihi fasa tiga pada tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Lundang (SK Ludang), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian penduduk di Pasir Mas dan Tumpat terperangkap apabila air naik dengan mendadak di rumah masing-masing.

Keadaan itu menyebabkan mangsa merayu pihak berkuasa supaya menyelamatkan mereka sebagaimana yang dilaporkan media hari ini.

Hadir sama ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman.

Menurut ADUN Tanjung Mas itu lagi, pihak keselamatan yang bertugas telah berusaha semampu mereka untuk menyelamatkan semua mangsa-mangsa.

Tetapi tambahnya, dalam keadaan yang terdesak dan serentak, eset sama pula perlu digunakan pada masa sama di tempat berbeza, menjadikan bantuan agak lambat.

“Kerana itu kita meminta pertolongan dari mana-mana NGO supaya turun membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/11/2024